Benarkan rentas negeri, kami kini parah, kata kumpulan perniagaan

PETALING JAYA: Kumpulan perniagaan berkata, semakin lama kerajaan mengekalkan sekatan rentas negeri bagi memerangi Covid-19, semakin banyak perniagaan dalam sektor pelancongan akan ditutup.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Tan Kok Liang berkata, pembukaan sempadan negeri dengan prosedur operasi standard (SOP) mesti dilakukan sekiranya sektor pelancongan mahu diselamatkan, kerana “apabila ada sekatan perjalanan, semuanya akan mati”.

“Kami benar-benar tidak dapat bertahan. Pada tahap ini, kita akan melihat semakin banyak penggiat industri parah dan mati dalam tempoh tiga bulan akan datang,” kata Tan kepada FMT.

“Sudah hampir 13 bulan sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, dan saya tidak fikir ramai dari kami yang akan dapat bertahan lama.”

Beliau berkata, perjalanan antara zon hijau yang dibenarkan hanya memberi kesan kecil atau tiada kesan langsung kepada sebahagian besar penggiat industri, kerana pelancong dari kawasan ekonomi utama seperti Kuala Lumpur dan Selangor, yang mempunyai keupayaan berbelanja, masih disekat.

“Tidak banyak kesan jika orang hanya bercuti di halaman belakang rumah mereka sendiri,” katanya.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia N Subramaniam juga bersetuju, dan menyifatkan keputusan kerajaan untuk menyekat perjalanan rentas negeri sebagai “memeningkan”.

Tutup bazar, tiada rentas negeri di Aidilfitri, keputusan politik atau menjaga masalahat?

“Kami tidak jelas mengenai apakah faktor utama yang menyumbang kepada keputusan untuk menutup sempadan negeri.

“Industri telah membuktikan sebelum ini bahawa pelancongan tidak menyebabkan penyebaran Covid-19, dan langkah pencegahan dan penambahan SOP dapat digunakan untuk mengawal penyebarannya,” katanya.

Subramaniam berkata pemulihan sektor pelancongan negara mungkin mengambil masa lebih dari tiga tahun berikutan unjuran terbaharu oleh Organisasi Pelancongan Dunia dan firma perunding McKinsey & Company.

Shaun Cheah, pengarah eksekutif Dewan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, berkata pelancongan domestik akan mendapat “kesan besar” terhadap pemulihan ekonomi negara dan ia sepatutnya dibenarkan jika pengendali boleh mematuhi SOP yang ketat.

Beliau berkata, sikap pelancong berbeza jika dibandingkan dengan mereka yang melakukan perjalanan “sosial” seperti perjumpaan keluarga dan perayaan di mana jarak fizikal sukar dipantau.

“Mereka lebih mudah untuk kekal terasing dari kumpulan besar ketika melancong,” katanya, sambil menambah kerana pelancongan adalah atas budi bicara, mereka yang berada dalam kumpulan rentan boleh memilih untuk tidak melakukan perjalanan jika tahap kesihatan mereka meletakkan mereka sebagai berisiko mengalami gejala yang teruk.

Bercakap dengan FMT awal minggu ini, ahli ekonomi Carmelo Ferlito berkata sekatan perjalanan untuk tempoh lama akan mengganggu usaha Malaysia untuk pemulihan ekonomi segera dari pandemik berkenaan.

Katanya, pembuat dasar harus melihat kadar kematian rendah Malaysia sebanyak 0.37% daripada melihat jumlah kes baharu setiap hari, yang boleh dipengaruhi oleh jumlah ujian yang dilakukan.

Azmin jangan tidur, kerajaan sudah tidak ada banyak wang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker