Amaran Muhyiddin kepada pengunjung bazar Ramadan agar patuh SOP
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pengunjung bazar Ramadan di seluruh negara agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak daripada jangkitan Covid-19.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata keadaan Covid-19 belum reda dan semua pihak perlu berhati-hati untuk menjaga keselamatan diri dan orang di sekeliling.
“Amalkanlah penjarakan fizikal dan cuci tangan menggunakan ‘sanitizer’ (cecair pembasmi kuman) sebelum dan selepas berada di tempat yang dikunjungi ramai orang,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin meluangkan masa berkunjung ke bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya pada pukul 5.00 petang bagi membeli juadah kegemaran di bazar berkenaan.
Sukar untuk elak pertembungan sesama sekutu, tapi tidak mustahil – Pas
Muhyiddin berkata beliau sempat berbual dengan peniaga dan pengunjung selain meninjau tahap pematuhan SOP di bazar Ramadan berkenaan.
Jelasnya menerusi kunjungannya ke bazar itu, beliau mendapati penganjur mengambil langkah-langkah perlu, antaranya memisahkan laluan masuk dan keluar pengunjung, jumlah gerai dikurangkan bagi mewujudkan jarak bersesuaian serta menempatkan petugas bagi mengingatkan pengunjung mengenai pematuhan jarak fizikal.
Muhyiddin turut mendoakan rezeki para peniaga dilipatgandakan sepanjang bulan Ramadan dan semua pihak termasuk pengunjung bazar dijauhkan daripada jangkitan Covid-19.
– Bernama