Rundingan Pas-UMNO masih berjalan

PETALING JAYA: Rundingan Pas dan UMNO berhubung agihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih berlangsung dan tidak timbul soal penangguhan perbincangan antara kedua-dua parti tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, pada masa sama pihaknya juga mengadakan rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Pas juga berunding dengan UMNO di bawah Muafakat Nasional (MN) dan selain itu turut berunding dengan Bersatu yang merupakan salah satu komponen Perikatan Nasional (PN).

“Rundingan masih berjalan antara Pas dengan kedua-dua pihak meskipun pelbagai pihak mengatakan usaha tersebut berhadapan jalan sukar. Walaupun ia agak mustahil, tetapi kita percaya adanya jalan dalam merintis perbincangan antara UMNO atau Bersatu dalam soal agihan kerusi,” katanya.

Semalam Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan pihaknya bakal mendapatkan penjelasan Pas berhubung kenyataan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membabitkan penangguhan rundingan agihan kerusi PRU-15 melibatkan Pas dan UMNO.

Pas belum sedia terima Amanah

Malah sebelum itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan tindakan Pas mengadakan perbincangan dengan Bersatu mengenai pengagihan kerusi adalah di luar kerangka MN dan ia bukan perbincangan yang dipersetujui bersama.

Dalam masa sama, Kamaruzaman menjelaskan, tidak timbul isu Pas dilihat melangkaui perjanjian piagam MN berhubung agihan kerusi kerana pihaknya mengambil pendekatan bekerjasama dengan semua parti termasuk Bersatu.

Tegas beliau, ia bertepatan dengan ketetapan Pas selama ini iaitu memperkukuhkan kedudukan MN dan mempertahankan kerajaan PN.

“Jadi tidak wajar dibangkitkan bahawa Pas di luar garisan MN kerana perbincangan dengan UMNO masih berjalan dan ia dibuktikan apabila kita mengadakan mesyuarat bersama minggu lalu.

“Kita berbincang dengan semua pihak untuk memperoleh keputusan terbaik walaupun agak mustahil, tetapi kita percaya ada penyelesaiannya,” katanya

Jika Pas-Bersatu boleh, kenapa UMNO-PKR tidak boleh?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker