Sarawak pertimbang mansuh kuarantin wajib 14 hari jika keadaan reda


KUCHING, 11 April — Kerajaan negeri Sarawak akan mempertimbangkan cadangan untuk memansuhkan kuarantin wajib 14 hari bagi kemasukan ke negeri ini sekiranya keadaan COVID-19 di Malaysia reda, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata angka positif COVID-19 di Sarawak juga kian meningkat, justeru jika kuarantin dimansuhkan ia akan memburukkan lagi keadaan di Sarawak.

Beliau berkata selain berhadapan dengan jangkitan tempatan, kemasukan pendatang tanpa izin di sempadan antara Sarawak dan Indonesia juga menggugat keadaan semasa di negeri ini yang turut menyumbang jumlah jangkitan COVID-19 tinggi.

“Kita memahami dan bersimpati (dengan keluarga yang sukar pulang kerana arahan kuarantin) tetapi dalam keadaan sekarang kita mahu orang Sarawak juga memahami keadaan semasa.



“Sebenarnya, prosedur operasi standard (SOP) ini perlu untuk melindungi Sarawak, bukan diskriminasi untuk menghentikan ahli keluarga daripada bertemu. Inilah keadaan yang sangat sukar, akan tiba masanya kita merasakan ia tidak lagi perlu…kita akan memansuhkannya,” katanya pada sidang media harian JPBN di sini hari ini.

Sebelum ini, satu petisyen dibuat agar kerajaan Sarawak memansuhkan kuarantin wajib 14 hari tersebut kerana ia dilihat membebankan.

Petisyen tersebut juga menyebut bahawa kebanyakan warga Sarawak yang juga kakitangan kerajaan mahupun berkerja dalam sektor swasta telah lama tidak pulang ke pangkuan keluarga semenjak pandemik itu melanda.

Hari ini, Sarawak sekali lagi merekodkan jumlah jangkitan positif COVID-19 tinggi iaitu sebanyak 443 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 20,001 kes.



Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut mengisytihar tiga lagi kluster baharu iaitu Kluster Abak Bon Subis, Kluster Jalan Badarudin di Kuching dan Kluster Nanga Kelangas di Julau. Bernama

Kuarantin wajib semua guru kembali ke Sarawak



Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker