Rundingan Pas dengan Bersatu tanpa pengetahuan UMNO – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggap keputusan Pas untuk berunding agihan kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat tanpa ‘restu’ UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Presiden UMNO itu menjelaskan, tindakan Pas itu bukan perbincangan yang dipersetujui oleh MN.

Katanya, sebarang keputusan yang dibuat dalam MN harus diterjemahkan pelaksanaannya dan jika ada perbincangan dibuat di luar kerangka muafakat itu, beliau anggap bukan perbincangan yang dipersetujui bersama.

“Sebarang perbincangan di luar kerangka MN hanya diketahui oleh mereka yang terlibat sahaja,” katanya seperti dilaporkan Mingguan Malaysia.

Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sedang berbincang dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas telah menghantar wakilnya bagi berunding dengan Bersatu berhubung perkara tersebut.

Bagaimanapun kata, Abdul Hadi, perbincangan dengan UMNO ditangguhkan seketika kerana parti itu berdepan kemelut dalaman.

“(Rundingan dengan UMNO) kita akan melihat perkembangan selanjutnya kerana dalam UMNO sendiri pun tidak sekata,” katanya di Terengganu semalam.

Presiden Pas juga memberi bayangan parti itu tidak akan bersama UMNO dan akan kekal bersama Perikatan Nasional (PN) jika wujud kerjasama antara UMNO dengan PKR.

“Kita terus dengan PN. Kita tolak jajaran baru, tidak akan terima jajaran baru,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ahmad Zahid hari ini dilapor mengulangi pendirian UMNO yang terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

Bagaimanapun katanya, UMNO perlu menjadi parti yang dominan dalam kerajaan selepas PRU15 nanti.

Katanya, ia penting bagi memastikan kestabilan politik dan perkembangan ekonomi negara dapat dipacu semula.

“UMNO dan BN sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik selepas PRU.

“Ketika itu sebarang bentuk kerjasama tidak perlu ada pihak yang mempertikaikannya kerana itu pasca PRU.

“Yang penting UMNO harus dominan semula bersama rakan-rakan dalam BN,” katanya. MG

Kita masih ‘cium mulut’, Umno tak tahu jika rundingan kerusi dengan PAS tangguh, kata Tok Mat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker