Serbu premis hiburan ‘tersorok’, dikawal ketat
KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan yang beroperasi di lokasi tersorok dan dikawal ketat oleh pengawal keselamatan di Jalan Yap Kwan Seng di sini diserbu polis, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam serbuan kira-kira 8.30 malam itu, 24 pengunjung termasuk tujuh wanita, seorang pemilik premis, empat pekerja warga Bangladesh serta lapan wanita pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand berusia antara 20 hingga 50 tahun, ditahan.
Menurutnya, semakan mendapati premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan hanya membenarkan pelanggan tetap untuk masuk.
“Pemilik pusat hiburan dikompaun RM25,000 dan 24 pengunjung dikompaun RM5,000 (setiap seorang) kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan menjalankan perniagaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta dikompaun mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.4) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Zainal berkata empat pekerja warga Bangladesh serta seorang GRO warga Thailand ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah manakala tujuh lagi GRO warga Thailand turut ditahan kerana dipercayai memiliki permit dan dokumen perjalanan memasuki Malaysia palsu.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Sabri Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya sedang memburu seorang pemandu lelaki disyaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Kajang, semalam.
“Dalam kesesakan lalu lintas anggota polis telah pergi ke kenderaan tersebut dan mengarahkan pemandunya berhenti namun suspek enggan sebelum terus melarikan diri.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk memberi maklumat,” katanya.
Mohd Sabri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan secara melulu dan merbahaya serta di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas apabila enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan hendak dijalankan.