Mesir Temui Kota Emas Zaman Firaun Terbesar

Sebaran :

KAHERAH – Ahli-ahli arkeologi kelmarin memuji penemuan kota purba paling besar di Mesir yang tertanam di bawah padang pasir selama 1,000 tahun, manakala pakar-pakar menyifatkannya an­ta­ra penemuan paling signifikan sejak makam Firaun Tutankhamun dijumpai pada tahun 1922.

Pakar sejarah Mesir, Zahi Hawass mengumumkan penemuan ‘kota emas’ itu dan berkata, tapak tersebut ditemui dekat Lu­xor yang menempatkan Lembah Para Raja.

“Misi ekskavasi Mesir di bawah kelolaan Zahi Hawass menemui kota kuno yang hilang di bawah padang pasir.

“Kota itu berusia 3,000 tahun dan wujud ketika era peme­rintahan Firaun Amenhotep III dan terus digunakan oleh Firaun Tutankhamun dan Firaun Ay,” kata pasukan arkeologi tersebut dalam satu kenyataan.

Mereka menganggap penemuan tersebut sebagai kota purba paling besar pernah dijumpai di Mesir.

 

PELANCONG dan wartawan berdiri di hadapan patung firaun Amenhotep III dan isterinya, Permaisuri Tiye (bawah) di kota kuil Luxor, Mesir pada 23 Mac 2014. – AFP

Betsy Bryan yang merupakan Professor Seni dan Arkeologi Mesir dari Universiti Johns Hopkins berkata, penemuan arkeologi itu adalah yang kedua paling pen­ting sejak penemuan makam Tutankhamun.

Barang kemas seperti cincin ditemui bersama periuk belanga, tangkal dan bata tertera cap mohor Amenhotep III.

“Banyak misi arkeologi asing mencari kota ini tetapi mereka tidak pernah menemuinya,” kata Zahi Hawass yang juga bekas Menteri Antikuiti Mesir.

 

PENGUNJUNG melawat makan Firaun Amenhotep II di Lembah Para Raja di Tebing Barat kota Luxor pada 5 November 2015. – Afp

Pasukan tersebut memulakan ekskavasi pada September 2020 di sebuah lokasi di antara kuil Ramses II dan Amenhotep III dekat Luxor, sekitar 500 kilo­meter ke selatan ibu negara Mesir, Kaherah.

“Dalam masa beberapa ming­gu saja, formasi bata mula muncul dari segenap arah.

“Apa yang mereka temui adalah tapak sebuah kota purba besar yang berada dalam kea­daan terpelihara dengan dinding-dinding dan perkakasan yang digunakan dalam kehidupan ha­rian berada dalam keadaan hampir sempurna,” katanya.

Amenhotep III mewarisi empayar luas yang bermula dari Sungai Euphrates hinggalah ke Sudan, kata pakar-pakar arkeologi dan meninggal dunia sekitar 1,354 tahun sebelum masihi.

Firaun itu memerintah selama hampir empat dekad dengan pemerintahannya dikenali kerana pembinaan monumen besar dan hebat termasuk Colossi of Memnon iaitu dua patung batu dekat Luxor yang mewakili dirinya dan isterinya, Permaisuri Tiye. – AFP

[VIDEO] 22 Mumia Era Zaman Firaun Diarak Di Jalanan, Mesir Raikan Khazanah Sejarah


Sebaran :

Leave a Reply