Mitos graduan tidak bersyukur
KENYATAAN Datuk Seri Mustafa Mohamed (Tok Pa) berkenaan gaji graduan atau anak muda dianggap seperti tidak penting dan tidak membimbangkan.
Bagi para graduan dan anak muda, soal gaji minima sering kali dibincangkan dan diketengahkan supaya gaji minima mereka dinaikkan selaras dengan status Malaysia sebagai negara maju.
Permasalahan yang sering dihadapi oleh para graduan dan anak muda terutama sekali isu pekerjaan,gaji minima dan kos sara hidup sering menjadi mimpi ngeri bagi anak muda yang baru ingin memulakan kehidupan.
Bagi graduan yang berasal daripada keluarga berkemampuan atau elit, mungkin mereka tidak merasai penderitaan graduan lain yang berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan terutama sekali mereka yang datang daripada kawasan perkampungan.
Mengikut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia,seramai 1/3 graduan ijazah pertama yang berasal daripada keluarga yang pendapatan RM1000 tidak mempunyai pekerjaan berbanding 21.2 peratus graduan pertama yang berasal daripada keluarga berpendapatan tinggi RM8500 yang tidak bekerja.
Peluang pekerjaan bagi setiap graduan juga berbeza dan bergantung kepada latar belakang pendapatan keluarga. Contohnya,graduan yang berasal daripada keluarga kaya akan mudah mendapat kerja berbanding graduan yang kurang berkemampuan. Dengan menggunakan segala kenalan dan “orang dalam”,maka mudah bagi mereka untuk mendapatkan pekerjaan.
Mengikut data,gaji graduan lepasan diploma menunjukkan trend penurunan iaitu RM1458 (2010) kepada RM1376 (2018). Penurunan gaji ini cukup membimbangkan graduan terutama sekali anak muda untuk meneruskan kehidupan di bandar seperti Kuala Lumpur. Bank Negara Malaysia juga menyatakan individu bergaji RM3000 kebawah masih dikira sebagai miskin bandar jika tinggal di Kuala Lumpur.
Pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi oleh para graduan terutama sekali dalam isu peluang pekerjaan yang dilihat telah mula dikuasai oleh pendatang asing. Mereka bukan sahaja perlu bersaing dengan warga asing,tetapi juga dengan warga tempatan.
Seramai 1.89 juta graduan telah bekerja sebagai dibidang separuh mahir dan dibawah kelayakan akademik akibat daripada peluang pekerjaan yang terhad dan gaji yang tidak setimpal dengan kelayakan akademik mereka.
Pengucupan dan kemelesetan ekonomi negara akibat daripada penularan wabak Covid19 juga memberi kesan yang cukup besar kepada para graduan dan anak muda sehingga menyebabkan jumlah dan kadar pengangguran meningkat naik.
Kesimpulannya,para granduan bukan tidak bersyukur seperti yang difikirkan,cuma mereka memerlukan gaji yang setimpal dengan kelayakan akademik mereka. Setelah bertahun menghabiskan masa untuk belajar,akhirnya pekerjaan tidak seperti yang dibelajar sebelum ini.
Dengan gaji yang tidak setimpal,kos sara hidup yang tinggi dan kewajipan untuk melunaskan hutang pendidikan perlu diambil kira.
Kerajaan juga perlu membuka peluang pekerjaan dan memberi keutamaan kepada graduan tempatan dan anak muda dalam pengambilan pekerjaan berbading warga asing.
Muhammad Azha Salahudin
Aktivis NGO Adat