[VIDEO] Tarantula, Jasa dan Bukti Dasar BN Berjaya

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, Malaysia memiliki kereta perisai pertama buatan tempatan, kenderaan mobiliti tinggi pacuan empat roda (HMAV 4×4), Tarantula.

Ia dihasilkan 100% melalui sentuhan anak tempatan menerusi Mildef International Technologies Sdn Bhd dan ini membuktikan kepada pemain industri pertahanan seluruh dunia tentang keupayaan serta kemahiran syarikat Malaysia.

Menteri Kanan (Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob berkata. kereta berperisai itu siap tiga bulan lalu hasil usaha lapan jurutera dan lebih 100 tenaga kerja Kementerian Pertahanan (Mindef) selain melibatkan kos sepanjang penyelidikan dan pembangunan mencecah RM16 juta dalam tempoh empat tahun.



“Saya telah sebutkan (sebelum ini) Mindef akan beri fokus supaya pakar dalam negara iaitu anak Malaysia mampu mengeluarkan senjata sendiri supaya kita tidak lagi bergantung kepada negara luar di dalam perkara berkaitan peralatan ketenteraan ini,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menamakan kereta perisai mobiliti tinggi 4X4 (HMAV4x4) Pertama Malaysia sebagai “Tarantula” di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Sungai Besi, di sini, hari ini.

“Anak Malaysia hari ini berjaya membuktikannya. Sebelum ini, kita berjaya menghasilkan peluru dan komponen pesawat serta saya berikan jaminan sebagai galakan kepada industri pertahanan negara melibatkan anak tempatan ini, Mindef akan menjadikan pengeluaran Malaysia itu sebagai satu kelebihan di dalam perolehan kementerian,” kata beliau.



Ismail berkata, Tarantula telah melalui pelbagai penilaian, antaranya penggunaan bahan api, ujian muatan dan ujian mendaki yang dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh tentera darat setanding dengan pelaksanaan di peringkat antarabangsa.

Ujian itu berlangsung selama sembilan hari merangkumi perjalanan sejauh 700km di atas jalan raya dan 300km secara “off road” termasuk beberapa ujian berhalangan lain.

Nama Tarantula ini diambil daripada spesies labah-labah bertaring, bersaiz besar dan berbulu serta mempunyai keupayaan mengubah warna dan tingkah laku mengikut persekitaran serta mampu membunuh haiwan lain yang lebih besar daripadanya.

Tarantula kenderaan berperisai pertama buatan Malaysia



Selain itu, Ismail berkata, kereta berperisai mobiliti tinggi ini juga dibina mengikut kesesuaian iklim dan cuaca di Malaysia.

Beliau berkata, Tarantula turut menarik minat beberapa negara lain termasuk negara-negara Timur Tengah.

“Teknologi (kenderaan ini) akan dipertingkatkan lagi jika perlu untuk menembusi pasaran antarabangsa dan berdasarkan kapasiti yang sedia ada ketika ini, Mildef International Technologies mampu menghasilkan 40 buah kereta berperisai mobiliti tinggi 4×4 Tarantula ini bagi tempoh setahun jika ada permintaan,” kata beliau.



Dengan keupayaan lasak dan mampu mencapai kelajuan 110 km sejam, HMAV 4×4 ini juga berupaya melaksanakan pelbagai misi penting ketenteraan serta memberi perlindungan kepada pengendali serta kru kenderaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker