Penghuni kediaman berhampiran SUKE bantah pemaju tutup jalan masuk

Sebaran :

 

Penutupan jalan berikutan kemalangan maut yang melibatkan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (Suke) dilaporkan telah membawa kepada penutupan jalan masuk utama bagi penduduk sebuah kondominium berdekatan.

Menurut laporan Selangorkini, kondominium Puncak Banyan di Persiaran Alam Damai, Cheras, terletak hanya 100 meter dari lokasi kemalangan, dan penutupan jalan itu melibatkan satu-satunya jalan masuk dan keluar dari kompleks perumahan berkenaan.

Penduduk kondominium telah mengadakan protes hari ini membantah penutupan itu.

“Tindakan pemaju, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menghalang satu-satunya laluan keluar masuk menyebabkan penduduk meletak kenderaan di luar pagar kondominium.

“Kami berjalan kira-kira 10 minit melalui laluan sementara disediakan pemaju, keadaan lebih teruk jika bawa barangan berat atau anak kecil,” katan salah seorang penduduk Patrick Cheah, yang dilaporkan mewakili 388 penduduk, sepeti dipetik laporan itu.

Dalam kemalangan 22 Mac, sebuah kren pembinaan di lebuh raya rebah mengorbankan tiga pekerja di lokasi. Seorang pemandu kenderaan juga cedera parah

Berikutan itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia mengarahkan beberapa jalan di bawah pembinaan lebuh raya itu ditutup, untuk memastikan keselamatan orang ramai.

Pembinaan juga dihentikan sementara menunggu pemeriksaan keselamatan.

Kejadian itu adalah yang terbaru dalam rentetan kemalangan serius yang melibatkan lebuh raya Suke.

Seorang wanita cedera ringan setelah konkrit jatuh menghempap keretanya pada 19 September 2020.

Pada 3 Mac tahun ini, dua lagi terkorban dan tiga cedera ketika jambatan yang dalam pembinaan runtuh. Namun, untuk kejadian ini, kemalangan jalan raya dianggap penyebabnya dan kontraktor yang terlibat telah mematuhi semua keperluan pengurusan lalu lintas.


Sebaran :

Leave a Reply