Jakim sedia perbaiki khutbah Jumaat agar lebih segar

 

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersedia menambah baik khutbah Jumaat supaya isi teks kandungannya tampak segar dan lebih relevan dengan suasana semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya sememangnya sentiasa melihat keperluan khutbah yang bersesuaian dengan keadaan terkini.

“Kita (Jakim) ada lihat mana-mana teguran positif yang disampaikan daripada pelbagai pihak malah kita mengambil kecaknaan dan keprihatinan terhadap perkara khutbah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kurma Ajwa dan Air Mineral Dari Kumpulan Brahim’s Dewina di Masjid Mahmoodiah, di sini hari ini.

Sumbangan itu diserahkan kepada 127 buah masjid di bawah kelolaan Jawi dan Jakim selain Jabatan Agama Islam Selangor untuk diagih ketika majlis berbuka puasa pada Ramadan ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli mengambil maklum tulisan dalam ruangan Minda Pengarang oleh Timbalan Pengarang Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil kelmarin mengenai teks khutbah Jakim.

“Pihak kita (Jakim) memang perbaiki teks dari semasa ke semasa kandungannya namun tidak menolak ada kala terlepas pandang dan kita amat menghargai teguran masyarakat,” katanya.

Utusan Malaysia difahamkan teks khutbah terbitan Jakim kelazimannya cuma untuk Wilayah Persekutuan meliputi tiga masjid di Putrajaya, 15 buah di Labuan dan 67 lagi di Kuala Lumpur.

Sementara teks khutbah untuk sejumlah 6,380 buah masjid di luar tiga Wilayah Persekutuan dikeluarkan pihak Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing mengikut situasi tempatan.

Bagi Wilayah Persekutuan, teks disedia panel penulis yang meneliti perkembangan semasa dan latihan raptai selama tempoh masa tertentu dibuat sebagai simulasi sebelum diluluskan.

Ini termasuk dengan mengambil kira latar belakang rencam jemaah di masjid yang pelbagai dengan ada golongan profesional, pentadbir, pelajar sekolah, peniaga kecil dan sebagainya.

Menyentuh pelantikan sebagai ahli Perhimpunan Ulama Muslim Amerika (AMJA) baru-baru ini, Zulkifli berkata, beliau berkata, ia platform berkongsi pengalaman Malaysia dalam isu syarak.

“Ini merupakan badan ilmu feqah disertai pelbagai tokoh dan pakar agamawan, sementara mereka mahu tahu kejayaan kita dalam kaedah falak untuk penentuan tarikh Islam,” katanya.

Pemilihan beliau turut mencipta sejarah rakyat Malaysia pertama sebagai anggota AMJA yang ada pengaruh besar dalam perkongsian perundangan syarak kontemporari seluruh dunia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker