Menteri, timbalan menteri Umno pegang jawatan hingga Ogos – Zahidi


Semua 17 menteri dan timbalan menteri Umno akan kekal dengan pentadbiran Muhyiddin Yassin sehingga Ogos, menurut anggota Majlis Tertinggi parti itu, Zahidi Zainul Abidin.

Ini berlaku setelah menteri-menteri Umno bertemu Muhyiddin di kediaman rasminya di Putrajaya semalam, sehari setelah Umno diberi kuasa oleh akar umbi melalui perhimpunan agung tahunannya) untuk menetapkan masa untuk keluar dari kerajaan Perikatan Nasional.

Walaupun Zahidi tidak menghadiri perjumpaan, dia mengatakan timbalan menteri Umno diberitahu mengenai hasil pertemuan dengan perdana menteri itu.

“Kami diberitahu oleh menteri bahawa kami akan tetap berada dalam pentadbiran hingga Ogos di bawah kapasiti individu,” kata Zahidi kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

“Keputusan (mengenai menteri-menteri Umno meletakkan jawatan kabinet) dibuat untuk kepentingan rakyat dan negara. Tidak ada gunanya kita berhenti (sekarang) kerana ia akan menjadikan negara ini lebih teruk dan menyebabkan orang menderita (kerana Covid- 19),” katanya.

Katanya, pertemuan itu diadakan dengan Muhyiddin kerana menteri-menteri Umno perlu menyampaikan keputusan yang dicapai di Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 28 Mac.

Umno mempunyai sembilan menteri dan lapan timbalan menteri.

Perhimpunan Umno juga meluluskan usul untuk 42 Ahli Parlimen dari Umno dan Barisan Nasional untuk berhenti menyokong kerajaan PN sebaik Parlimen dibubarkan.

Perwakilan parti juga memberikan mandat mereka kepada Majlis Tertinggi untuk memutuskan garis masa untuk berhenti dari pentadbiran PN. Bagaimanapun, Umno masih belum memutuskan tarikh sebenar.

Bagaimanapun, timbalan presiden Mohamad Hasan telah menyatakan bahawa parti mereka hanya akan bersama PN sehingga Ogos – iaitu ketika darurat ditamatkan.

Ketika dihubungi, bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Nazri Abdul Aziz hanya ketawa apabila diminta mengulas komen Zahidi.

“Ini lucu. Saya tak percaya,” katanya kepada Malaysiakini.

Awal hari ini, Nazri dipetik Free Malaysia Today sebagai mendesak menteri dan timbalan menteri untuk segera berhenti.

Katanya, sesiapa yang tidak mengundurkan diri dari kerajaan akan dilihat sebagai “pengecut yang tidak setia kepada Umno”.

Nazri mengulas mengenai cabaran anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Rosol Wahid kepada menteri dan timbalan menteri Umno untuk mengundurkan diri tanpa syarat dan bukannya perlu diminta untuk menarik sokongan terhadap PN.

“Saya menyokong penuh gesaan Rosol. Mengapa mengatakan bahawa anda akan mengundurkan diri (hanya) jika diminta? Undur diri saja, bukan susah,” kata Nazri. Mk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker