ECRL: Kerajaan rugi RM1.25 juta sehari akibat kelewatan kerajaan negeri Selangor – Mohd Zuki


PUTRAJAYA: Kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM1.25 juta sehari bersamaan hampir RM450 juta setahun, susulan pendirian kerajaan negeri Selangor untuk tidak bersetuju dengan cadangan penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang juga Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali, tindakan kerajaan negeri Selangor itu hanya akan menganggu perjalanan keseluruhan projek yang dijangka siap Disember tahun 2026.

“Kita kena ingat projek ini melibatkan peruntukan atau kos yang besar jadi sekarang ini akibat kelewatan dan lambatnya kerajaan negeri Selangor membuat keputusan, ia mengakibatkan kita menanggung kerugian RM1.25 juta sehari, jadi projek sudah tertunda setahun akibat kelewatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Buku 365 Hari Mohd Zuki Ali: Aspirasi dan Cabaran di Putrajaya pada Isnin.

Malah tambah Mohd Zuki, kerajaan Pusat terutamanya di peringkat MRL telah memberikan semua penjelasan kepada kerajaan Negeri Selangor berhubung semua isu yang dibangkitkan agensi kerajaan negeri itu.

“Kita di peringkat ECRL telah berikan semua penjelasan kepada kerajaan Negeri Selangor, jadi saya rasa perkara ini tidak ada alasan untuk nak melengah-lengahkan.

“Sebab semakin lama kita lengahkan, ia akan menganggu keseluruhan projek, ikutkan perancangan projek ini dijangka siap tahun 2026,” jelas Mohd Zuki lagi.

Malah beliau turut khuatir, akibat tindakan kerajaan negeri Selangor itu akan mengakibatkan imej negara turut tercalar kerana ia melibatkan kerjasama dengan negara China.

“Dengan kelewatan ini, saya khuatir dengan apa yang kita rancang tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual. Ini saya khuatir melibatkan imej kerajaan juga, sebab projek ini melibatkan kerjasama kita (Malaysia) dengan kerajaan China,” katanya lagi.

Justeru ujar Mohd Zuki, kerajaan negeri itu diharap dapat mempertimbangkan semula pendiriannya dalam meneruskan projek ECRL melalui beberapa daerah di Selangor.

“Sekarang kita masih berharap kerajaan negeri Selangor akan pertimbangkan semula dan perkara ini kita akan bawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk keputusan akhir.

“Bila mesyuarat? Secepat mungkin, kerana saya telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan akan menyediakan kertas untuk dibawa ke mesyuarat,” katanya lagi.

Sebelum ini, Exco Selangor membuat keputusan mempertahankan pendiriannya untuk tidak bersetuju dengan cadangan penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ia melibatkan Seksyen C iaitu jajaran (Mentakab-Pelabuhan Klang). Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker