Saya lebih senior dari Zahid – Annuar

Sebaran :


Bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa mengingatkan pengkritiknya agar tidak mempertikaikan kesetiaannya kepada parti itu hanya disebabkan pandangan yang berbeza dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Malah kata Annuar, dia lebih senior berbanding Zahid dan telah mencurahkan banyak perkara untuk membela Umno.

“Tanpa takbur, tanpa riak, saya nyatakan, saya lebih senior daripada presiden Umno. Waktu saya menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) tahun 1990, presiden Umno belum menjadi ahli MT.

“Waktu saya menjadi anggota jemaah menteri dalam kabinet Dr Mahathir, presiden Umno belum menjadi ahli jemaah menteri.

“Jadi jangan pertikaikan soal kesetiaan saya. Cuma mungkin, pandangan saya atau pun strategi politik saya mungkin berbeza dengan presiden.

“Tapi belum tahu lagi, strategi siapa yang lebih ampuh bagi nak memenangkan parti kita,” katanya dalam wawancara Bicara Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang disiarkan di Facebooknya.

Kata Annuar, meskipun berselisih faham dalam parti, ia hanya melibatkan percanggahan pendapat semata-mata, dan bukan bermakna mereka bergaduh secara peribadi.

Katanya, baik dia mahupun Ahmad Zahid, kedua-duanya hanya menunjukkan rasa “sayang kepada parti” mengikut cara masing-masing.

‘Tak perlu bersembunyi dengan saya’

Pun begitu, katanya, Ahmad Zahid tidak perlulah menyembunyikan perkara tertentu daripada pengetahuan ahli parti.

Ini termasuklah, katanya, sokongan yang diberikan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim menerusi sepucuk surat, yang menurutnya bukan surat palsu.

Selain itu, dia turut membangkitkan perhitungan yang turut melibatkan DAP termasuk di Perak, dipercayai merujuk pembentukan kerajaan negeri Perak baru Dis tahun lalu.

“Boleh bersembunyi dengan orang lain. Tapi tak usahlah bersembunyi dengan saya. Tak perlulah saya tampil ke hadapan, kerana itu tak manis untuk kita bertelagah sesama sendiri. Tetapi, yang penting, berkata benar. Jangan menafikan. Ada perjumpaan berunding dengan DAP, PKR.

“Tapi tak apa, sekurang-kurangnya hari ini, secara rasmi telah disebut, no DAP no PKR. Alhamdulillah, sependapat dengan saya.

“Dan tambah lagi hari ini, no Bersatu,” tambahnya.

Dalam ucapan dasar presiden di PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini, Ahmad Zahid menegaskan Umno tiada sebarang rundingan dengan mana-mana pihak, baik secara rasmi mahupun tidak.

Kata Ahmad Zahid, pendirian Umno kekal dan muktamad iatu untuk tidak menerima Anwar, DAP atau pun Bersatu.

Kenyataan itu berbeza dengan pendedahan Anwar sendiri pada 18 Mac lalu yang mengaku ada pertemuan dengan beberapa tokoh Umno, meskipun tiada komitmen kerjasama diputuskan menuju PRU-15.

Pada Jan lepas, Annuar mendedahkan mengenai apa yang dirujuknya sebagai perakuan bertulis daripada Ahmad Zahid yang menyatakan sokongannya kepada Anwar.

Menurutnya, akuan itu dipersembahan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid dan Annuar saling berselisih pendapat soal kerjasama antara Umno dan Perikatan Nasional.

Ahmad Zahid – disokong Majlis Tertinggi Umno – mahu memutuskan kerjasama itu menjelang PRU-15, manakala Annuar pula mahu kerjasama antara tiga parti Melayu utama – Umno, PAS, dan Bersatu – diteruskan bagi mencapai kemenangan dalam PRU-15. Mk


Sebaran :

Leave a Reply