Rumah panjang musnah terbakar, 150 hilang tempat tinggal

Sebaran :

PETALING JAYA: Rumah panjang Uma Lesong di Sungai Batu Keling berdekatan tasik Empangan Bakun, Belaga, Sarawak musnah dalam kebakaran semalam, mengakibatkan seramai 150 penduduk daripada 24 keluarga hilang tempat tinggal.

Difahamkan, kebanyakan penduduk berada ke kebun dan pekan berdekatan, termasuk menjalankan urusan lain di luar rumah panjang ketika kebakaran berlaku.

Harian Metro melaporkan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Christus Buson berkata, pihaknya hanya menerima makluman berhubung kejadian pada pukul 3 petang.

“Pihak kita turut dimaklumkan rumah panjang jenis tidak kekal itu ranap sepenuhnya dalam masa empat jam dan api padam sepenuhnya pada pukul 2 petang,” katanya.

Katanya, penduduk tidak dapat melakukan apa-apa bagi memadam kebakaran kerana tiada balai bomba berdekatan.

Menurutnya, pasukan BBP Bintulu bermalam di Empangan Bakun malam tadi sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi kebakaran dengan menggunakan bot Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) yang mengambil masa tiga jam.

Christus berkata, kebakaran tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana penduduk berjaya menyelamatkan diri.

“Kita dimaklumkan kesemua mangsa terjejas kini menetap di khemah sementara yang didirikan sementara menunggu bantuan tiba,” katanya.

Menurutnya, faktor kawasan yang terletak jauh di pedalaman, iaitu tujuh jam perjalanan dari Bandar Bintulu dengan menggunakan jalan darat dan sungai antara kesukaran yang dihadapi pasukan bomba memadam kebakaran yang berlaku.


Sebaran :

Leave a Reply