Malang mati tertimbus ketika korek tebing tanah

ALOR SETAR: Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah ketika sedang menjalankan kerja mengorek tebing tanah di belakang sebuah rumah di Kampung Ulu Tawar, dekat Baling hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling Shamsudin Mamat berkata dalam kejadian 5.10 petang itu, mangsa Muhammad Firdaus Adnan, 20, yang bekerja sebagai pemandu jentera mesin korek (backhoe) maut di tempat kejadian.

“Sebelum kejadian, mangsa sedang melakukan kerja-kerja mengorek tanah secara bersendirian di belakang rumah tersebut pada 4 petang. Mangsa kemudiannya telah menghentikan kerja dan turun dari jentera untuk membuang air kecil.

“Semasa sedang membuang air kecil, tanah tebing yang dikoreknya telah runtuh dan menghempap mangsa. Runtuhan itu telah menyebabkan mangsa tercampak ke jentera yang terletak berhampiran berikutan terdapat kesan luka pada badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, pihak polis mendapati mangsa melakukan kerja mengorek tanah di belakang rumah pelanggannya itu untuk dijadikan sebagai tapak rumah.

Shamsudin berkata mayat mangsa yang tertimbus itu berjaya dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kulim dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan proses bedah siasat,” katanya.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker