Kartel polis: NGO gesa IGP lapor polis segera sebelum semakin parah

NGO hak asasi manusia menyeru Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador membuat laporan polis berhubung dakwaan kewujudan ‘kartel’ dalam pasukan keselamatan itu.

Dalam satu kenyataan, NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) dan Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged) berkata, Abdul Hamid wajar membuat laporan berkenaan supaya mereka yang terlibat ditahan dan didakwa di mahkamah.

“Mengikut Kanun Prosedur Jenayah pula, dalam seksyen 13(1), setiap individu hendaklah memaklumkan atau membuat laporan polis sekiranya mengetahui tentang apa-apa kelakuan jenayah.



“Justeru, kami menyeru agar ketua polis negara membuat satu laporan polis dan nyatakan setiap butiran anggota yang terlibat supaya mereka dapat ditahan dan didakwa di mahkamah.

“Sekiranya tidak, Ketua Polis Negara sebagai seorang penjawat awam yang telah bersumpah, adalah tertakluk di bawah seksyen 181 Kanun Keseksaan yang mana memperuntukkan seseorang penjawat awam yang membuat satu dakwaan palsu boleh dipenjarakan sehingga tempoh 3 tahun dan denda,” katanya.

Kenyataan bersama itu turut dikeluarkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan NGO Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM).

Sementara itu mereka juga membidas Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Ismail Mohamed Said yang mengatakan masih terlalu awal untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan kewujudan kartel berkenaan.



“Apakah yang membuatkan beliau berasa bimbang untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang bebas seperti RCI bagi menyiasat dakwaan tersebut? Adakah wujud penglibatan ahli politik dalam kumpulan kartel berkenaan?”soal mereka.

Ismail hari ini berkata Kementerian Dalam Negeri belum menerima senarai individu yang didakwa terlibat dalam aktiviti tersebut dan masih terlalu awal untuk membentuk RCI.

Dia berkata sekiranya dakwaan itu berasas, ia boleh dibawa ke Suruhanjaya Pasukan Polis dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) terlebih dahulu.

Baru-baru ini, Abdul Hamid mendakwa wujud kartel dalam pasukan polis yang merancang untuk menjatuhkannya.



Dia kemudian berkata isu itu boleh ditangani dan menolak penubuhan RCI.

Sementara itu, Gabungan Bertindak Malaysia menggesa Abdul Hamid mempertimbangkan semula pendiriannya untuk hanya menyiasat kartel tersebut secara dalaman.

“[..] Cabarannya adalah untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap PDRM.

“Oleh itu, kami mendesak agar siasatan bebas oleh agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipertimbangkan secara serius.



“Kami juga percaya bahawa RCI harus dibentuk dengan penemuan berikutnya diumumkan,” kata pengerusinya Badlishah Sham Baharin.

Berikutan pendedahan itu, NGO tersebut juga menggesa kerajaan membentuk Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC).

“Kami yakin IPCMC harus dibentuk untuk mencegah imej pasukan polis dicemari oleh segelintir pegawai yang tidak bertanggungjawab,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker