Undi 18 Perlu Dilaksana Seperti Dirancang: Pemuda Pas Tapi Presiden Cakap Lain
Pemuda Pas terkilan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menunda pelaksanaan Undi 18 kerana merasakan usaha ke arah tersebut mesti dilaksanakan dengan segera tanpa berlengah.
Ketuanya Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, Pemuda Pas konsisten dengan pendirian bahawa Undi 18 mesti dilaksanakan bersama pendaftaran pemilih automatik mengikut garis masa yang dirancang.
“Memahami bahawa SPR memerlukan lebih masa untuk kemas kini senarai daftar pemilih kerana ia perlu dilaksanakan bersama pendaftaran pemilih automatik, Pemuda Pas merasakan bahawa usaha ke arah tersebut mesti dilaksanakan dengan segera tanpa berlengah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, Pemuda Pas menawarkan diri untuk menghulurkan kerjasama dengan semua agensi kerajaan yang terlibat bagi memastikan persediaan menyeluruh dalam mempercepatkan proses ini.
“Besar harapan kami agar semua anak muda berusia 18 tahun ke atas dapat menjalankan hak dan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihan raya umum akan datang. Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan hasrat ini,” kata Khairil.
Pada Khamis, SPR dalam kenyataannya memaklumkan, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik hanya dapat dibuat menjelang 1 September 2022, iaitu penangguhan melebihi satu tahun daripada sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada Julai tahun ini.-SH