Terpulang Kepada Presiden..Azmin Serahkan Muhyiddin Tentukan Lokasi Kerusi PRU-15

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan lokasi kerusi akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ini berikutan cabaran Ketua Bahagian UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gombak.

Menurut Azmin, hanya Muhyiddin boleh menentukan kawasan mana boleh ditandinginya termasuk di Gombak yang disandangnya sejak 2008.

“Siapa dia nak menentukan saya bertanding di mana. Yang menentukan di mana saya bertanding hanya presiden parti,” katanya ringkas pada sidang akhbar selepas Program Rapat Malaysia Prihatin Peringkat Selangor di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Tambah Azmin, beliau yakin Muhyiddin sedang melakukan perancangan untuk meletakkan dirinya serta beberapa ahli lain bertanding di mana sahaja bagi memastikan partinya serta komponen Perikatan Nasional (PN) beroleh kemenangan majoriti pada pilihan raya akan datang.

Mengulas mengenai isu pendaftaran Undi 18 tahun (Undi18), Azmin meminta semua pihak menghormati keputusan yang telah dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara terbabit.

Jelasnya, suruhanjaya tersebut telah membuat beberapa pertimbangan sebelum keputusan menangguhkan pelaksanaan Undi18 itu dibuat.

“Kerajaan telah meluluskan pindaan (Rang Undang-Undang Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun) ini di Parlimen.

“Namun, saya difahamkan banyak proses serta akta lain yang perlu dipinda sebelum rang undang-undang ini boleh digazetkan,” katanya-UM

Muhyiddin Dakwa Rakyat Suka PN, Kalau Begitu Eloklah Bubar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker