‘Abang polis’ payung warga emas ketika hujan terima penghargaan

Sebaran :

 

Sikap prihatin seorang anggota polis di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, yang bertindak memayungkan seorang warga emas dalam keadaan hujan lebat Ahad lalu, bukan sahaja mendapat pujian daripada netizen, tetapi turut mendapat penghargaan daripada wakil rakyat kawasan itu.

Bagi Koperal Fairul Azizi Che Mansor, 36, surat penghargaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya Michelle Ng bukan sahaja istimewa buat dirinya, tetapi juga pengiktirafan kepada pasukan beruniform itu yang bakal menyambut hari ulang tahun ke-214 esok.

“Surat penghargaan ini mungkin biasa bagi sesetengah pihak, tetapi bagi saya ini merupakan satu bentuk penghargaan masyarakat kepada anggota keselamatan yang berkhidmat tanpa mengenal jemu semata-mata demi keselamatan orang ramai.

“Ia akan menjadi pembakar semangat saya untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat selepas ini,” katanya yang menerima surat penghargaan itu dalam satu majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di Kuala Lumpur, semalam.



Menceritakan kembali kejadian pada Ahad lalu, Fairul Azizi berkata beliau ketika itu berada di kaunter pertanyaan sebelum terpandang seorang warga emas dalam lingkungan 70-an kelihatan dalam kepayahan untuk keluar daripada kereta dengan menggunakan sepasang topang dalam keadaan hujan lebat.

“Saya hanya membantu dengan meminjam payung daripada pengadu yang ada di balai ketika itu dan pergi ke arah lelaki itu untuk membantu, tetapi saya tidak sangka video perkara itu tular sehingga mendapat perhatian netizen di media sosial,” katanya kepada Bernama.

Sejak dua hari lalu tular di media sosial video yang memaparkan tindakan seorang anggota polis memayungkan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) itu yang pergi ke Balai Polis USJ 8 untuk membuat laporan tentang kes kemalangan yang dialami.

Keadaan hujan lebat ketika itu menyebabkan pakaian warga emas itu basah sehingga anggota polis itu mengambil inisiatif memberikan pakaian miliknya kepada warga emas itu.

Video yang turut dimuat naik di laman sosial Facebook Ibu Pejabat Polis Subang Jaya telah meraih sebanyak lebih seribu tanda suka dan dikongsi sebanyak 409 kali.



Sementara seorang pengguna Facebook Arjuna Niezam meninggalkan komen “polis dan masyarakat berpisah tiada, itu pun ada yang mengutuk dan menghina polis dek hanya segelintir anggota yang bermasalah”

Seorang lagi pengguna media sosial itu Adam Musa menulis “terbaik dan semoga kita akan menjadi contoh macam abang polis”.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Bin Othman menghargai sikap masyarakat yang nampak kebaikan yang dilakukan oleh anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

– Bernama


Sebaran :

Leave a Reply