Pakar ekonomi gesa kerajaan perjelas cara hutang dikira



Sebaran :


PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi mendesak kerajaan menjelaskan bagaimana ia mengira hutang negara, dan jika perlu, melihat kemungkinan meningkatkan had hutang.

Bercakap kepada FMT, Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran menyuarakan kebimbangan berhubung pertambahan hutang negara yang dijangka mencecah RM975 bilion pada tahun 2021.

Katanya, penting bagi hutang dilihat dalam konteks pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih rendah dan peningkatan perbelanjaan kerajaan untuk menyokong ekonomi susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).



Baru-baru ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abd Aziz berkata, hutang berkanun Malaysia dijangka mencecah 58.5% daripada KDNK, tetapi akan berada di bawah had berkanun 60%.

Namun, bekas perdana menteri Najib Razak mempertikaikan angka tersebut dengan berkata, had 60% telah dilepasi kerana pentadbiran sekarang tidak memasukkan pinjaman asing dalam pengiraan hutangnya.


Carmelo Ferlito



Ferlito berkata, kerajaan perlu menjelaskan perkara itu bagi menghindari tanggapan ia tidak mengikut peraturan.

“Penting untuk mengetahui situasi hutang sebenar dalam menentukan strategi tepat untuk mengurangkan hutang ini.

“Anda tentu tidak mahu memperkenalkan cukai pada masa akan datang untuk melunaskan hutang ini kerana itu boleh menjadi penghalang bagi pelaburan baharu.”



Katanya, selain menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang lebih cekap, kerajaan harus mengelak daripada memperkenalkan cukai baharu.

“Kerajaan harus memfokus pada strategi pemulihan yang mampan melalui langkah seperti membuka sempadan, menghapus sekatan pergerakan dan menyediakan garis panduan jelas untuk perniagaan.”

Beliau berkata, ini pada akhirnya akan meningkatkan pendapatan kerajaan daripada “menampal lubang” melalui suntikan fiskal.



Seorang lagi pakar ekonomi, Juita Mohamad dari badan pemikir Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) berkata, hutang lebih tinggi tidak dapat dielakkan walaupun rancangan kerajaan untuk menawarkan bon sukuk dalam dolar untuk membiayai perbelanjaan akan mendedahkan negara kepada risiko yang disebabkan oleh turun naik mata wang.

“Berpandukan kesilapan masa lalu, kita tahu bahawa pergantungan pada pinjaman mata wang asing menyumbang kepada ketidakpadanan mata wang dan menjadikan negara seperti kita lebih terdedah kepada krisis sekiranya berlaku kejutan luaran.

“Jadi bon sukuk harus dalam ringgit supaya perubahan dalam nilai dolar AS tidak akan mempengaruhi nilai dan jadual pembayaran dalam jangka sederhana dan panjang.”



Katanya, kerajaan dapat memfokus pada usaha penurunan nisbah hutang kepada KDNK sebaik sahaja negara mula mencatat pertumbuhan ekonomi positif. FMT

Mana mungkin kadar hutang negara sudah turun – Najib


Sebaran :


Leave a Reply