Ledakan ekonomi bakal berlaku, skim cukai baharu perlu, kata pakar ekonomi


Kerajaan diminta memperkenalkan skim cukai baharu menjelang tahun depan bagi meningkatkan hasil negara.

Pakar ekonomi memberi amaran sekiranya negara menunggu terlalu lama sebelum memperkenalkan skim cukai baharu, Malaysia akan ketinggalan apabila “ledakan ekonomi” berlaku.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, beliau faham keperluan mencegah sentimen dan keyakinan pasaran ekonomi menjadi lemah, namun tetap menegaskan keperluan bagi skim cukai baharu.

Kata beliau kepada FMT, cukai baharu perlu dilancarkan tahun ini bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan, memandangkan ledakan ekonomi dijangka pada 2025.


Barjoyai Bardai.

“Kadar cukai Malaysia masih rendah berbanding negara jiran dari segi nisbah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Nisbah cukai kita kepada KDNK kurang daripada 12%, hampir sama dengan Indonesia.

“Sekiranya kita tidak memperkenalkan cukai baharu pada waktu yang tepat, kita mungkin akan berdepan satu lagi situasi kemerosotan pasaran dan terpaksa menunggu 10 tahun lagi (untuk satu lagi ledakan ekonomi),” kata beliau.

“Secara strategik, Kementerian Kewangan perlu merangka (pengenalan sistem cukai baharu) ini.”

Barjoyai berkata, kerajaan mungkin mahu mengelakkan pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana ia membebankan sebilangan besar pembayar cukai.

Sebaliknya, beliau menyarankan agar kadar cukai lebih tinggi dikenakan ke atas golongan T20 atau struktur cukai pendapatan diperketat dengan mengenakan cukai ke atas dividen, keuntungan urus niaga saham persendirian, malah transaksi internet.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz bahawa kerajaan tidak akan memperkenalkan sistem cukai baharu untuk meningkatkan hasil negara buat masa ini.

Zafrul berkata, kerajaan akan melihat kepada “kaedah efisien” bagi meningkatkan hasil sebaik sahaja ekonomi pulih, sambil memfokus kepada usaha menghidupkan semula ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.


Carmelo Ferlito.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, tidak akan pernah ada waktu yang tepat untuk menaikkan kadar cukai.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan patut mempertimbangkan skim cukai yang lebih baik, bukannya melaksanakan lebih banyak cukai.

“Dengan cukai baharu, kerajaan hanya akan menambah cukai kepada sistem sedia ada. Dengan skim baharu, komposisi cukai akan berubah,” kata beliau kepada FMT.

Berbeza dengan Barjoyai, Ferlito berkata, keseimbangan boleh dicapai dengan menambah baik GST, selain merendahkan kadar cukai pendapatan bagi syarikat dan individu.

Tambah Ferlito, kerajaan sepatutnya mengambil kira isu hutang dan hasil sebelum bercadang melaksanakan dasar dan suntikan fiskal yang meluas, sambil menambah, ia perlu dibiayai oleh seseorang.

“Generasi akan datang akan terkesan, dengan kuasa membeli lebih lemah dan kadar pengangguran meningkat.

“Jangan pula kita lupa bagaimana pengurangan agresif kadar faedah boleh menyebabkan gelembung aset dan krisis turun-naik ekonomi.

“Strategi terbaik bagi meningkatkan hasil adalah dengan mencipta persekitaran yang sihat bagi pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan dan simpanan swasta.

“Apabila ekonomi berkembang, keuntungan juga dapat dijana,” kata beliau. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker