UMNO tarik diri dari PN belum muktamad – Annuar Musa
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyifat surat UMNO untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak muktamad.
Ujarnya, pelbagai perubahan boleh berlaku selagi pilihan raya belum berlangsung.
“Pada saya tidak muktamad. Dalam politik tak ada apa yg muktamad. Naib Presiden UMNO (Datuk Seri) Ismail Sabri kata tak mustahil (dan) beri gambaran tak mustahil lepas PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) ada lagi perubahan tertentu.
“Itu meletakkan kita dalam keadaan disadvantage kerana kita telah buat keputusan sebelum sampai masanya,” katanya dalam temu bual bersama TV Pertiwi yang disiar secara langsung di Facebook, Isnin malam.
Sementara itu mengulas mengenai isu lompat parti, Ahli Parlimen Ketereh itu menyifatkan tindakan itu sebagai mengkhianati mandat yang telah dipertanggungjawabkan oleh rakyat.
Ujarnya, proses lompat parti ini akan berterusan selagi tiada undang-undang yang boleh menyekat tindakan itu dari berlaku.
“Secara idealnya, kita tidak patut menggalakkan lompat parti, kerana dalam sistem negara kita bertanding atas dua perkara; bertanding atas logo parti yang beri kebenaran kepada kita, selain kita bawa nama kita sendiri.
“Pada saya, lompat itu kita membelakangkan mandat rakyat yang diberi atas nama parti. Tapi sebab undang-undang negara kita tak ada sekatan… selagi undang-undang tidak ubah, proses bertukar parti ini akan terus berlaku atas banyak faktor,” katanya.
Muktamad! Himpunan tolak ICERD diteruskan