Andai Xavier tak salah, kena ugut pun lompat parti? – Shahril Hamdan

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan menimbulkan persoalan mengenai beberapa hujah mempertahankan keputusan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar keluar PKR dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Secara khusus, dia menyoal pihak yang mendakwa Xavier melompat parti kerana tekanan dan ancaman sebagaimana dakwaan Naib Presiden PKR Tian Chua dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah.

Sivarasa mendakwa Xavier tidak akan berpaling tadah jika tidak kerana “siasatan terpilih” oleh SPRM, manakala Chua berkata PN menggunakan ancaman untuk terus berkuasa.

“Kalau kita pun seperti kawan-kawannya (Xavier) Sivarasa dan Tian Chua yang seakan tak percaya alasan dikemukakan Xavier, maka timbul persoalan yang kita boleh fikirkan jawapannya sendiri.

“Andai benar dia tidak bersalah, ‘ugut’ macam mana pun, kenapa perlu lompat?

“Sekarang dah lompat, adakah siasatan terus dihentikan?” soalnya pada hantaran di Facebook malam tadi.

Bulan lalu, SPRM menangkap “kenalan keluarga” Xavier, MA Thinagaran.

Siasatan terhadap Thinagaran didakwa berkenaan projek kerajaan di Perak yang dimulakan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Zuraida harap langkah Xavier dapat sedarkan MP pembangkang lain

SPRM juga dilaporkan telah menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalannya berhubung kes yang sedang berlangsung.

Xavier sendiri menjadi subjek siasatan menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Sebelum ini, SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan gabungan beberapa parti politik bahawa suruhanjaya itu dijadikan sebagai ‘senjata politik’ dalam melaksanakan tindakannya.

Xavier sendiri mendakwa tindakannya menyokong usaha kerajaan PN bertujuan membendung wabak Covid-19, menciptakan peluang pekerjaan dan membangunkan semula ekonomi.

Katanya lagi, sekurang-kurangnya 18 bulan diperlukan untuk melaksanakan program vaksinasi dan lebih dua tahun untuk ekonomi pulih sepenuhnya.

Langkah Xavier menyokong PN menyusuli tindakan dua ahli parlimen PKR, Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) keluar parti pada tahun ini.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan tiga MP PKR menyokong PN itu sekadar “strategi untuk menunda kejatuhan PN, bukan memperkasakan” gabungan itu.

“Tiada pergerakan politik yang dibina dengan pendekatan tidak bermoral sebegini akan mampu bertahan.

“Semua pergerakan politik hanya akan kukuh dan berkelangsungan dengan kerja keras dan keyakinan pada nilai yang diperjuangkan.

“PN ditubuhkan tanpa ideologi dan kejelasan perjuangan dan sehingga waktu ini Malaysia tidak menjadi lebih baik dari sewaktu diperintah oleh PH.

“Semua ini adalah ramuan untuk kegagalan yang pasti. Berapa lama un PN berusaha untuk memanjangkan hayatnya, mereka akhirnya akan kembali kepada rakyat juga untuk menentukan masa depan,” katanya pada hantaran di Facebook malam tadi.

Jelas Khaled, sangat tepat untuk BN menjauhkan diri daripada PN.

“Kerana BN ingin menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya, bukan PN dan sekutunya yang telah menjadi masalah kepada Malaysia,” katanya lagi.

PKR: Tindakan Xavier keluar parti timbulkan tanda tanya – Saifuddin Nasution

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker