Ku Li ‘hilang kewarasan’ tengok Umno, PAS terus kukuh – Mokhtar Senik
Keinginan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah untuk melihat Muafakat Nasional (MN) berpecah dan membawa Umno bersama PH begitu ketara, menurut bekas Ketua Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik.
Mokhtar mengulas kenyataan Tengku Razaleigh, atau Ku Li, yang menggelarkan PAS sebagai “pelacur politik” dalam wawancara bersama The Malaysian Insight semalam.
“Ku Li menjadi tak tahan dan hilang kewarasan bila melihat perkembangan terbaru PAS dan Umno yang berikrar memperkukuhkan MN.
“Ku Li yang layak dianggap sebagai negarawan kerana sumbangannya yang besar untuk negara sepanjang penglibatan dalam politik akhirnya melontarkan kata-kata yang sama dengan politikus murahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mokhtar berkata lagi, dia yakin kecenderungan Ku Li untuk melihat MN berpecah tidak disokong ahli ahli Umno dan PAS.
Semalam Tengku Razaleigh melabelkan PAS sebagai “pelacur politik” yang perlu ditewaskan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal itu berkata tindak-tanduk PAS dalam pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan parti itu tidak boleh dipercayai.
“Di (pilihan raya kecil) Tanjung Piai, ketika mereka sudah bersama dengan kita, PAS tidak mengundi kita, mereka ada 3,000 ahli di Tanjung Piai tapi tidak sampai 1,000 yangundi kita. Mereka bukan rakan kongsi yang jujur. Begitu juga di Semenyih.
“PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46,” kata bekas presiden Semangat 46 itu merujuk kepada parti yang pernah dipimpinnya pada penghujung 1980 -an sebelum kembali menyertai Umno pada tahun 1996.
Mokhtar juga sempat menyindir dengan berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin wajar memberi Ku Li jawatan menteri kanan yang mungkinan “boleh menyebabkan nadanya sedikit berbeza”.
“‘Kluster kecewa’ dalam politik wujud di mana-mana kalau hati tak betul-betul ikhlas,” katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata parti itu rela dituduh “pelacur” demi mempertahankan perpaduan ummah.
“Kami rela dituduh pelacur dan parti kecil demi mempertahankan perpaduan ummah.
“Cacian memang pedih dan mengguris hati kami tetapi kesakitan ini kami tahan demi sebuah perpaduan yang lebih bermakna buat agama, bangsa dan negara,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.