Jailani sah sertai UMNO, dilantik Ketua Penerangan Alor Gajah

ALOR GAJAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis, yang sebelum ini menyertai PKR, kini sah kembali kepada UMNO.

EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri itu dilihat hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah, di sini, hari ini sebelum diumumkan sebagai Ketua Penerangan UMNO bahagian itu.

Pengumuman dibuat Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan di Dewan Hang Kasturi, dekat Selandar di hadapan 180 perwakilan.



Spekulasi Muhamad Jailani menyertai UMNO bertiup kencang sejak bulan lalu, namun beliau mengambil sikap ‘kunci mulut’ walaupun diasak media.

Sebelum ini, beliau turut digembar-gembur akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada September lalu, namun tiada keputusan rasmi mengenai perkara itu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Muhamad Jailani bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia atas tiket Pakatan Harapan (PH) mewakili PKR.

Pada PRU berkenaan, beliau menang dengan majoriti 1,814 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Norpipah Abdol dan calon PAS, Rashidi Razak.



Beliau bersama beberapa ADUN PH ketika itu, kemudiannya membuat keputusan menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) Melaka sekali gus menyebabkan kerajaan PH Melaka tumbang.

Serentak itu, PKR memecat keahliannya pada Mei lalu sebelum Muhamad Jailani bergerak sebagai ADUN Bebas.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker