Undi 18: Jika 2/3 undi boleh ubah perlembagaan, kenapa sokongan 100% wakil rakyat sukar dilaksana? Soal Najib


Najib Razak mempersoalkan, sekiranya dua pertiga sokongan Ahli Parlimen dan Dewan Negara boleh mengubah Perlembagaan Persekutuan, mengapa sokongan 100% yang diberikan wakil rakyat untuk Undi 18 sukar dilaksanakan.

Najib berkata, sekiranya Undi 18 diluluskan secara sebulat suara tanpa sebarang bantahan atau mana-mana Ahli Parlimen yang berkecuali, maka ia sepatutnya dilaksanakan, mengikut jadual yang dipersetujui iaitu selewat-lewatnya Julai 2021.

“Usul dengan majoriti 2/3 menyokong boleh tukar Perlembagaan Persekutuan. Ini kan usul dengan sokongan 100% undi secara sebulat suara?” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Presiden Dewan Negara Rais Yatim berkata, terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan dasar Undi 18, walaupun selepas Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Rais berkata, negara masih tidak bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu, memandangkan proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun turut memakan masa lama.

Najib bagaimanapun mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mahu melaksanakan Undi 18 kerana percaya majoriti anak muda marah pada kerajaan ketika ini.

“Maka kerajaan PN telah terperangkap dan masih terfikir mahu laksanakan ke tidak Undi 18 kerana tidak meluluskannya bermaksud penghinaan paling besar terhadap Parlimen dan proses demokrasi,” katanya.

Penguatkuasaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021.

Pada 25 Jul 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan dengan sokongan 211 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang menyokong, melebihi jumlah 148 yang diperlukan. FMT

Terus maju, lupakan Mahathir, kata pemimpin DAP kepada Amanah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker