Laporan polis terhadap Lokman Adam atas dakwaan Hamzah cuba ‘beli’ Ahli Parlimen

Sebaran :


Seorang pembantu kepada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin membuat laporan polis terhadap Lokman Noor Adam berhubung sebuah video yang dimuat naik ke Facebooknya berhubung pemimpin PPBM itu.

Sayed Amir Muzzakkir Sayed Mohamad dalam laporan polis itu berkata, video bertajuk “Hamzah Zainudin Shopping Sakan, Bukan Takat Mp Nak Debeli, Partipun Hendak Dibeli. Apakah Keputusan Mic Dan Mca?” memfitnah Ahli Parlimen Larut itu.

Beliau mendakwa video itu turut mencadangkan Hamzah ialah “Datuk Seri” yang cuba meyakinkan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail daripada PKR untuk melompat parti dan menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Kenyataan ini berniat jahat, fitnah dan menimbulkan rasa benci dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan,” katanya sambil menambah ia juga “memfitnah perdana menteri dan menteri dalam negeri dengan dakwaan membeli Ahli Parlimen”.



Disebabkan video itu menjadi viral di media sosial, Sayed Amir Muzzakkir berharap pihak berkuasa akan menjalankan “siasatan secara menyeluruh dan terperinci” serta mengambil “tindakan tegas” terhadap Lokman.

Video yang dinyatakan dalam laporan itu disiarkan secara langsung lebih 50 minit pada 6 Mac lalu.

Natrah sebelum ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa dua individu, termasuk seorang bergelar “Datuk Seri”, cuba memujuknya memberi sokongan kepada Perikatan Nasional dengan dijanjikan manfaat.

Satu akaun Facebook dikenali sebagai “Ops Johor” kemudiannya berkata, ia membabitkan tawaran RM10 juta, tetapi Natrah menafikan beliau menyatakan sebarang jumlah dalam laporannya. FMT




Sebaran :

Leave a Reply