Kalimah Allah: KDN ambil maklum
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memutuskan tindakan susulan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan isu kalimah “Allah” selepas mendapat penghakiman bertulis mengenainya, kata Hamzah Zainudin.
Menteri Dalam Negeri itu berkata tindakan susulan kepada hal-hal lain yang dibawa Jill Ireland Lawrence Bill terhadap KDN juga akan dibuat selepas itu.
“Dalam hal ini, KDN akan memutuskan tindakan susulan daripada aspek perundangan selepas menerima alasan penghakiman secara bertulis dari pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan kerajaan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada masyarakat bukan Islam pada 1986.
Justeru hakim terbabit Nor Bee Ariffin memutuskan Jill Ireland berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan dan membenarkan tindakan undang-undang dibuat wanita Kristian berbangsa Melanau itu.
Sebagai rekod, pada 11 Mei 2008, cakera padat (CD) berjudul Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah, Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah dan Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
Wanita itu kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 untuk menuntut pemulangan CD yang dirampas itu serta bayaran ganti rugi.
Pada 23 Jun 2015 pula Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya CD itu dipulangkan kepada Jill Ireland.
Dalam perkembangan berkaitan Muafakat Nasional malam tadi menggesa kerajaan membawa keputusan berkenaan ke Mahkamah Rayuan.
Gabungan itu juga menyatakan keprihatinan amat serius mereka terhadap keputusan tersebut.
Hamzah berkata KDN mengambil maklum mengenai apa yang diputuskan mahkamah semalam.
“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mahu pun tafsiran sendiri ke atas keputusan tersebut dan menghormati proses perundangan dan kehakiman negara,” katanya.
MN gesa Putrajaya rayu keputusan bukan Islam dibenar guna kalimah Allah