Ahmad Maslan: Tiada sebab untuk Umno beri kata dua pada PAS

Sebaran :

Tiada sebab untuk Umno memberi kata dua kepada PAS yang memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

Jelas Ahmad, Umno dan PAS terlebih dulu menjalinkan kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN).

“Itu hak PAS untuk bersama Bersatu tiada kaitan dengan Umno yang ingin memperkuatkan hubungan dengan PAS.

“Hubungan PAS dan Umno bermula lebih awal berbanding hubungan PAS dengan Bersatu dalam PN.

“Jadi tak ada sebab kenapa kami perlu beri kata dua,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Umno, malam ini.

Umno dan PAS malam ini bermesyuarat bagi membincangkan agenda berkait MN.

Hubungan dua parti itu mencuri perhatian khususnya selepas PAS membuat keputusan menjadi komponen PN.

Umno dan PAS menjalinkan kerjasama selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan membentuk MN.

Manakala PAS menyertai PN selepas parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan PN.

Bagaimanapun pada 26 Feb lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menghantar surat memaklumkan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada 19 Feb untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

MT Umno bagaimanapun memutuskan ahli Parlimen parti itu akan terus menyokong kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen.

Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan yang Umno akan memastikan tiada pertembungan dengan PAS dalam PRU-15 nanti.

Bagaimanapun, kata Ahmad, soal pertembungan dengan Bersatu akan diputuskan kemudian,

“Antara Umno dan PAS kita harap tak ada pertembungan tetapi antara Umno dengan Bersatu itu kita KIV (tangguh untuk bincangkan) dulu.

“Setakat ini memang kita tidak ada hubungan dengan Bersatu,” katanya lagi.


Sebaran :

Leave a Reply