Taksub Punya Pasal..Lengan Membusuk

Demi menyelamatkan nyawanya, ‘Popeye Rusia’ yang terkenal kerana memiliki lengan sasa terpaksa membuang daging otot yang mereput menerusi beberapa pembedahan.

Kirill Tereshin, 24, bakal menjalani pembedahan kedua bagi membersihkan ototnya yang tersumbat dengan daging busuk akibat menyuntik lengannya dengan minyak Synthol.

Sebelum ini, doktor memberi amaran kepada Tereshin bahawa dia berisiko kehilangan fungsi tangannya selepas dia menyuntik dirinya sendiri dengan minyak itu untuk menjadikan otot lengannya berketul-ketul dan menonjol.

Bekas askar itu mengakui masalah kesihatannya itu berpunca daripada tindakannya yang terlalu taksub mengubah otot pada lengannya sejak usia 20 tahun.

Tereshin yang menetap di Pyatigorsk, wilayah Stavropol Krai menjalani pembedahan yang terpaksa ditangguhkan hampir setahun akibat Covid-19.

“Badan saya masih boleh menerima kesan ini, tetapi saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini.

“Sebab itu saya mula melakukan pembedahan ini bagi melenyapkan ‘mimpi ngeri’ ini,” katanya seperti dilaporkan The Sun.

Katanya, dia bertuah ada doktor sanggup merawat dan membuang daging busuk itu.

“Pakar bedah, Dmitry Melnikov memberitahu saya boleh meninggal dunia, jika tangan saya tidak dibedah.

“Pembedahan paling sukar dilakukan pada bisep saya kerana ada saraf sensitif,” katanya.

Sementara itu, Melnikov dari Universiti Perubatan Sechenov Moscow berkata, Tereshin menyuntik tiga liter minyak itu dalam setiap lengannya.

Katanya, tindakannya itu menyebabkan aliran darah pada tisu ototnya tersumbat.

“Semua itu perlu dikeluarkan namun pada masa sama perlu menjaga urat, saraf dan fungsi anggota badan lain,” katanya.

Tereshin sebelum ini mendapat jolokan Popeye selepas membesarkan otot lengannya.

Suntikan Synthol terkenal dalam kalangan ahli bina badan yang mahu mengembangkan tisu otot dalam tempoh singkat.

Selepas menjalani pembedahan pertama untuk mengeluarkan otot reput itu pada 2019, Tereshin mengakui fungsi lengannya bertambah baik.

Bagaimanapun, dia masih perlu menjalani beberapa pembedahan untuk mengeluarkan semua daging busuk berkenaan.

Sumber: The Sun 

[VIDEO] Selamba Angkut Ribuan Lebah Guna Lengan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker