MCA minta ahli parti bersiap siaga hadapi PRU15 — MYKMU.NET

MCA minta ahli parti bersiap siaga hadapi PRU15



Sebaran :

Meskipun tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pembubaran Parlimen masih belum diumumkan, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-67 MCA melalui resolusinya hari ini menggesa semua ahli parti itu bersiap siaga di bawah jentera dan strategi bersepadu Barisan Nasional (BN) bagi menghadapinya.

Resolusi itu juga menyebut langkah ini bertujuan mendapatkan kembali mandat rakyat ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas, demokratik dan adil untuk semua.

Perkara itu dinyatakan dalam resolusi tujuh perkara yang diluluskan 1,220 perwakilan yang menghadiri AGM tersebut secara hibrid susulan pandemik COVID-19 dengan 95 orang hadir di ibu pejabat MCA manakala 1,125 menyertainya secara maya.



“Perhimpunan Agung ini tetap berpegang kepada ideologi politik MCA dalam mempromosikan semangat kepelbagaian dan kesederhanaan serta berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

“Perhimpunan Agung ini menyeru semua parti agar menghentikan segala bentuk percaturan politik, sebaliknya bersama-sama menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap usaha-usaha membendung penularan pandemik COVID-19, membantu rakyat serta memulihkan ekonomi negara,” menurut resolusi itu.

Resolusi itu menyatakan bahawa perwakilan juga bersetuju menyokong usaha kerajaan menyediakan vaksinasi COVID secara percuma, mengutamakan petugas barisan hadapan, golongan berisiko tinggi dan rentan serta mencadangkan penjadualan vaksinasi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi.



Perwakilan turut mengalu-alukan tindakan kerajaan Perikatan Nasional meletakkan kembali dasar pendidikan ke landasan yang betul termasuk penambahan serta pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan peruntukan dana pendidikan.

Mereka juga menyokong kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan penularan pandemik agar rakyat dapat kembali menjalani kehidupan normal serta merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang telah berjuang habis-habisan sepanjang tahun lepas dengan memberi sumbangan besar dalam memelihara kesihatan dan keselamatan rakyat.

Menyentuh mengenai ekonomi, perwakilan menyokong pelaksanaan Belanjawan 2021 oleh kerajaan yang pada masa sama, mengetengahkan lebih banyak skim bantuan untuk golongan dan bidang yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19 dalam usaha menggerakkan pemulihan ekonomi secara komprehensif serta meningkatkan pendapatan rakyat.



Berikut adalah resolusi Mesyuarat Agung Tahunan ke-67 MCA;

1. Hal Ehwal Parti

– Bersiap siaga sepenuhnya di bawah jentera dan strategi bersepadu Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, dalam usaha mendapatkan kembali mandat rakyat bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas, demokratik dan adil untuk semua.

2. Politik

– Tetap berpegang kepada visi politik parti, dalam mempromosikan semangat kepelbagaian dan kesederhanaan, serta berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.



– Menyeru semua parti menghentikan segala bentuk percaturan politik, sebaliknya bersamasama menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap usaha-usaha membendung penularan pandemik COVID-19, membantu rakyat serta memulihkan ekonomi negara.

3. Kerajaan

– Menyokong kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan penularan pandemik agar rakyat dapat kembali menjalani kehidupan normal, serta merakamkan penghargaan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang telah berjuang habis-habisan sepanjang tahun lepas dengan memberi sumbangan besar dalam memelihara kesihatan dan keselamatan rakyat.

– Menyokong kerajaan menyediakan vaksinasi COVID-19 secara percuma, mengutamakan petugas-petugas barisan hadapan negara, golongan berisiko tinggi dan rentan; serta mencadangkan penjadualan vaksinasi sejurus pembukaan sektor ekonomi.



4. Ekonomi

– Menyokong pelaksanaan Belanjawan 2021 oleh kerajaan, yang memanfaatkan rakyat tanpa mengira kaum dan agama, di samping mengetengahkan lebih banyak skim bantuan untuk menolong golongan serta bidang yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19 dalam usaha menggerakkan pemulihan ekonomi secara komprehensif serta meningkatkan pendapatan rakyat.

5. Pendidikan

– Mengalu-alukan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletakkan kembali dasar pendidikan ke landasan yang betul, termasuk penambahan serta pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), peruntukan untuk institusi pendidikan dan sebagainya.


Sebaran :


Leave a Reply