Menteri Undang -Undang Maklumkan Tiada Keperluan Perlimen Bersidang Sehingga Ogos

PUTRAJAYA: Tidak ada keperluan sidang Parlimen dilaksanakan dalam tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos ini berdasarkan justifikasi undang-undang selain membolehkan tumpuan kerajaan diberikan sepenuhnya kepada usaha menangani Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan Seksyen 14 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) dinyatakan dengan jelas sidang Parlimen ditiadakan dalam tempoh darurat iaitu peruntukan berhubung memanggil, memprorog atau membubar Parlimen tidak mempunyai kesan.

Katanya, kenyataan yang dibuat Istana Negara baru-baru ini adalah bagi menjelaskan perkara tersebut iaitu tiada sidang Parlimen dalam tempoh itu.



Namun katanya, mana-mana sesi Parlimen yang hendak dipanggil mestilah berdasarkan keputusan Kabinet sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi pada masa ini Kabinet menasihati Yang di-Pertuan Agong bahawa tidak ada sidang Parlimen. Itulah keadaan sekarang ini. Istana Negara menyatakan kalau nak diadakan sidang Parlimen, maka perlu ada keputusan Kabinet bukan Perdana Menteri.

“Oleh itu, apabila Kabinet membuat nasihat kenapa kita menangguhkan sidang Parlimen ini, bukan menggantung (Parlimen), kerana banyak alasan, ada alasan perundangan termasuk alasan sains dan data,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, alasan tidak mengadakan persidangan Parlimen kerana kerajaan amat serius dalam rangka untuk membendung jangkitan Covid-19 termasuk dalam kalangan ahli Parlimen.



Takiyuddin berkata, sebahagian besar ahli Parlimen adalah kumpulan berisiko tinggi dan mahu memastikan mereka tidak terdedah dengan jangkitan Covid-19 kerana Parlimen berada dalam kawasan tertutup.

Katanya, seramai 77 daripada 220 ahli Parlimen berusia 61-69 tahun; usia 70-79 tahun (19 orang) dan 80 tahun ke atas seramai empat orang yang berisiko terdedah jangkitan wabak itu.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin politik melahirkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ‘mendiamkan’ sidang Parlimen.

Kebanyakan mereka mempersoalkan kenapa sekolah sudah dibuka, ahli politik khususnya PN sudah mula mengadakan mesyuarat parti, tetapi mengapa sidang Parlimen tidak boleh dijalankan?



Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil sikap acuh tidak acuh terhadap titah Yang di-Pertuan Agong selepas Seri Paduka berkenan untuk Parlimen bersidang semasa darurat.

Dengan nada sinis, beliau berkata, ia hanya sebagai taktik politik bagi menyelamatkan diri dan gabungan kerajaan sekali gus menyekat suara rakyat dalam membuat keputusan.

“Kalau dah sampai tahap kerajaan boleh membenarkan Timbalan Menteri merentas negeri, malah ada yang ke luar negara seperti New Zealand, kenapa tidak membenarkan Parlimen? Ini sangat tidak masuk akal, ingkar perintah Yang di-Pertuan Agong dan menyalah guna kuasa. Sepatutnya beliau menjunjung titah Seri Paduka,” katanya.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub pula berkata, sikap Perdana Menteri terhadap titah Yang di-Pertuan Agong seperti ada sesuatu yang disembunyikan.



“Apa isu lagi tak nak panggil Parlimen bersidang, sebab vaksin (Covid-19) sudah ada. Kenapa? Perdana Menteri kena jawab dan panggil juga Parlimen bersidang sebab kita perlu membahaskan (isu-isu rakyat).

“Banyak perkara tak telus menyebabkan beliau (Perdana Menteri) senyap (tak mahu bersidang), sama ada isu projek, ketelusan vaksin, macam ada sesuatu yang disembunyikan,” dakwanya.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, amat janggal apabila Seri Paduka telah memberi pandangan darurat tidak menghalang Parlimen bersidang pada masa sama sektor-sektor lain dilonggarkan, institusi utama yang mendukung demokrasi negara pula tidak diberi peluang sama.

“Ia mewujudkan persoalan adakah kerajaan begitu khuatir dengan peranan semak dan imbang yang dimainkan di Parlimen?,” soalnya.



Dalam pada itu, pemerhati politik bebas, Arif Anwar Lokmanol Hakim berkata, adalah wajar untuk Perdana Menteri mengadakan sidang Parlimen sementara menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Adakah Perdana Menteri perlu menunggu seperti dua ahli Parlimen untuk menyokong beliau dan cukupkan kuorum di Parlimen atau sebaliknya?

“Jika Pakatan Harapan (PH) atau UMNO nak usulkan undi tidak percaya, atau memaksa untuk membubarkan Parlimen atau menukarkan jawatan Perdana Menteri kepada PH atau UMNO, susunan aturan mesyuarat boleh sahaja masukkan usul tersebut di bawah sekali kerana ia bukan urusan utama kerajaan. Sekalipun nak bersidang, tiada apa yang boleh menggugat Perdana Menteri buat masa ini,” katanya. – UTUSAN

Pasar malam boleh buka tak guna ‘Sains dan Data’, Parlimen tak boleh bersidang – Najib



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker