‘Pembangkang berpecah’ tak mampu tawan kembali Putrajaya – bekas MP PKR
Gabungan Pakatan Harapan (PH) yang “berpecah-belah” tidak akan mampu menawan kembali Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, kata Ahli Parlimen Julau Larry Sng.
Menurutnya, perkara ini mendorong dirinya keluar daripada PKR baru-baru ini.
“Adakah kamu rasa PH ada harapan untuk kembali berkuasa jika saya terus kekal dalam PKR?
“Tak mungkin PH dapat Putrajaya meskipun ada 10 anggota parlimen masuk parti itu,” katanya dalam satu wawancara menerusi portal Sin Chew Daily Pocketimes semalam.
Jelas Sng, masalah pembangkang yang tidak dapat bersatu muncul kerana perbezaan antara parti Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad, PH dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan Shafie Apdal pula menerajui Warisan.
Justeru itu, kata Sng (gambar, atas) sukar untuk melihat pembangkang bekerjasama dan menyokong satu sama lain.
Sng, bertanding di kerusi Julau sebagai calon bebas dan menyertai PKR selepas PH menang PRU14 pada tahun 2018 lalu.
Dia kemudian meninggalkan PKR bersama Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong pada 28 Feb.
Kedua-dua mereka menyatakan alasan berbuat demikian kerana ingin berkhidmat di kawasan parlimen.
Selain itu, Sng berkata, dia pada mulanya tidak ingin berpaling padah namun akhirnya melakukan hal tersebut kerana merasakan tidak dapat menunaikan janjinya untuk membangunkan kawasan parlimennya jika masih ahli PKR yang kini pembangkang.
“Pendirian saya mudah, saya tidak dapat tunaikan janji. Sebab itu saya kena pergi. Tiada lagi masa lebih baik untuk tinggalkan parti,” jelasnya.
Meskipun ramai meluahkan rasa tidak senang atas tindakan tersebut, Sng mendakwa pengundi di Julau gembira atas keputusannya.
Sng turut mengulangi sokongan bagi pelaksanaan undang-undang antilompat parti untuk mengekang ahli parlimen berpaling tadah.
“Saya faham pandangan mereka terutama berhubung lompat parti,” jelasnya.
Choong nafi lompat sebab dapat RM20 juta
Sementara itu, Choong pula menafikan dakwaan dia menerima RM20 juta sebagai habuan menyokong kerajaan PN.
Bagaimanapun, dia berkata dia diberi jaminan peruntukan bagi kawasan parlimennya.
Tambahnya , dia sanggup bekerja tanpa gaji jika dia diberikan peluang oleh perdana menteri untuk berkhidmat kepada rakyat di Tebrau.
Choong juga menafikan tuduhan memburukkannya dengan mengaitkan dirinya berkaitan isu ‘lari cukai’.
“Saya seorang juruaudit profesional. Bagaimana saya ingin berkhidmat jika ditangkap kerana tidak bayar cukai,” katanya seperti dipetik laporan China Press.
Menjelaskan lanjut, Choong turut berkata, dia tidak berpaling tadah daripada PKR tetapi parti itu yang memecatnya.
Menurut Choong, dia kemudian memutuskan bertemu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali selepas melihat keadaan kawasan parlimennya yang tidak maju.
Selain itu, kata Choong terdapat aduan komuniti perniagaan bahawa pelaburan asing tidak masuk kerana isu birokrasi.
Katanya, Azmin turut meminta dia menyertai kerajaan dan menjadi “orang tengah”.
“Bagaimanapun, saya beritahunya yang saya tidak mahu jawatan menteri atau kedudukan tinggi (tapi) tidak ada kerja hendak dibuat. Saya cuma pekerja, saya kena buat sesuatu,” kata Choong seperti dipetik portal The Vibes.
Meskipun kehilangan dua ahli parlimen, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, Muhyiddin masih gagal meraih majoriti sokongan dalam Dewan Rakyat.
Pada Disember lalu, Perikatan Nasional meluluskan Belanjawan 2021 dengan 111 undi- majoriti tipis daripada 220 anggota Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, masih tidak jelas anggota parlimen Umno – terutama sekutu presiden parti Ahmad Zahid Hamidi yang mengkritik PN – akan kekal menyokong kerajaan sekiranya Dewan Rakyat bersidang kembali.