Bayaran permohonan i-Sinar

KUALA LUMPUR – Permohonan kemudahan i-Sinar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikemukakan sebelum 25 Februari akan diberi kelulusan secara berperingkat dan bayaran akan dibuat mulai 2 Mac 2021 susulan pemansuhan kriterianya bulan lepas.

Menurut kenyataan pada Selasa, KWSP menjelaskan ia melibatkan permohonan yang masih menunggu keputusan kelulusan dan yang berstatus tidak lulus, sebelum penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dilaksanakan.

“KWSP menghargai kesabaran ahli ketika proses ini sedang berjalan. Jika ahli mendapati status permohonan masih tiada sebarang perubahan, semakan boleh dibuat pada hari-hari berikutnya,” katanya.

KWSP menambah, permohonan baharu yang mencerminkan pemansuhan kriteria akan dibuka bermula 8 Mac 2021 kepada semua ahli berusia di bawah 55 tahun tertakluk kepada baki di dalam akaun satu mereka dan ini termasuk ahli KWSP bukan warganegara Malaysia.

Katanya, permohonan baharu ini akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja dan selepas tempoh ini, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran.

Dana persaraan itu turut memaklumkan bermula 8 Mac 2021 ahli juga diberikan kelonggaran untuk membuat pindaan pada butiran permohonan seperti jumlah dipohon, maklumat bank, alamat, nombor telefon serta mod bayaran di laman i-Sinar Online.

Sah! Tiada lagi syarat buat pengeluaran i-Sinar

“Jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal seperti yang dimaklumkan sebelum ini,” katanya.

KWSP menjelaskan bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (akaun satu), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000 dengan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan.

Bagi ahli yang mempunyai lebih daripada RM100,000 (akaun satu), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan akaun satu, namun jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah RM60,000.

Pembayaran juga akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000, menurut KWSP.

Ahli boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03 – 8922 4848 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bagi pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03 – 8922 6000 atau melayari laman web www.kwsp.gov.my. – Bernama

KWSP permudahkan kelulusan i-Sinar mulai 8 Mac

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker