KWSP permudahkan kelulusan i-Sinar mulai 8 Mac

 

KUALA LUMPUR: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia di bawah 55 tahun yang telah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac, 2021.

Menerusi kenyataan pada Khamis, KWSP menjelaskan ia termasuk mana-mana permohonan baharu yang diterima selepas tarikh tersebut, tertakluk kepada baki yang sedia ada dalam Akaun 1 ahli.

“Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000 dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000,” menurutnya.

Menurut KWSP bagi ahli yang mempunyai lebih RM100,000 dalam Akaun 1, mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1.

Bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000, jelasnya.

Dana persaraan itu juga menjelaskan pemansuhan kriteria i-Sinar bermakna pembayaran interim RM1,000 yang dilaksanakan pada bulan lepas akan dihentikan.

5 Isu Utama Dibangkitkan Rakyat Mengenai I-Sinar Kwsp Tanpa Syarat

KWSP menasihatkan ahli yang belum pernah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar sebelum ini dan berhasrat untuk memohon pada tempoh peralihan, supaya menangguhkan permohonan mereka sehingga i-Sinar yang telah dikemaskinikan dilancarkan pada 8 Mac.

Ini akan memendekkan masa yang diperlukan untuk proses permohonan mereka dan mempercepat pembayaran wang i-Sinar, jelasnya.

Menurut KWSP pemansuhan kriteria i-Sinar yang diumumkan pada 11 Februari 2021 melibatkan perubahan besar kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online.

Sehingga kini, sejumlah RM18.5 bilion telah dikeluarkan di bawah kemudahan i-Sinar sejak permohonan dibuka pada Disember 2020, dimanfaatkan oleh 3.3 juta ahli, jelasnya.

Ahli boleh menghubungi talian hotline khas i-Sinar di 03-8922 4848 dan untuk pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau melayari laman web www.kwsp.gov.my.

KWSP i-Sinar: Kerajaan, jangan lupa janji kepada BN – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker