Ekonomi akan terus dibuka, namun kawalan pergerakan masih perlu – PM



Sebaran :

 

Selepas setahun wabak Covid-19 melanda negara, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, aktiviti ekonomi akan terus dibuka tertakluk kepada amalan penjarakan sosial serta prosedur operasi standard ( SOP) yang ketat.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata kawalan pergerakan masih perlu sehinggalah program imunisasi sudah mencapai tahap tertentu.

Muhyiddin berkata demikian pada majlis amanat setahun Malaysia Prihatin yang diadakan di Putrajaya hari ini.



“Penguatkuasaan SOP akan dipertingkatkan. Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang didapati tidak mematuhi SOP bagi memastikan aktiviti ekonomi dan mata pencarian untuk majoriti rakyat dan perniagaan dapat kekal dibuka dan diteruskan.

“Walaupun aktiviti ekonomi akan dibuka, kawalan pergerakan masih diperlukan termasuk kawalan sempadan antarabangsa, kawalan pergerakan merentasi negeri dan juga aktiviti sosial dan perniagaan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan.

“Pembukaan aktiviti seumpama ini hanya dapat dilaksanakan setelah pelaksanaan imunisasi mencapai tahap tertentu dari segi liputan rakyat,” katanya.



Untuk rekod, program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa iaitu fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula pada 26 Februari sehingga April 2021.

Fasa kedua pula akan bermula pada bulan April sehingga Ogos 2021 membabitkan kumpulan berisiko tinggi, manakala fasa ketiga akan melibatkan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula Mei 2021 sehingga Februari 2022.

Muhyiddin berkata, mengambil kira situasi ini, kerajaan akan merangka langkah-langkah tambahan dalam tempoh terdekat kepada golongan yang memerlukan.



Pertama – Menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan, terutamanya golongan miskin serta golongan yang mengalami kehilangan pendapatan.

Kedua – Meningkatkan sokongan kepada perniagaan, khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang sedang dalam proses pembukaan semula pasca PKP.

Ketiga – Memberi tumpuan kepada sistem penyampaian awam, terutamanya bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan, menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan serta mengurangkan karenah birokrasi supaya aktiviti ekonomi kembali rancak sehingga ke peringkat akar umbi dan menggalakkan pelaburan baharu dari dalam dan luar negara.

 



Keempat – Memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Muhyiddin turut menggesa penjawat awam mempercepatkan proses bantuan, lebih-lebih lagi apabila orang ramai sedang berdepan dengan pelbagai kesulitan sewaktu pandemik Covid-19.

“Ini keutamaan nombor satu. Percepatkan proses penyampaian bantuan kepada rakyat. Mereka tidak boleh tunggu lama-lama. Sehari lewat mungkin dapur mereka tidak berasap,.

 



“Begitu juga permohonan-permohonan daripada peniaga, pengusaha dan pelabur. Permudahkan proses untuk mereka melabur, memula dan memulihkan perniagaan masing-masing,” katanya.


Sebaran :


Leave a Reply