Sekolah dibuka semula ‘rahmat’ bagi golongan B40

 

Apakah relevannya sekolah dibuka hari ini (1 Mac) sedangkan kes harian baharu COVID-19 masih lagi dalam lingkungan empat angka dan belum lagi menampakkan tanda ia berkurangan?

Itu antara persoalan utama serta keluhan para netizen yang membanjiri ruangan komen media sosial dan Facebook Kementerian Pendidikan (KPM) sejurus pengumuman pembukaan sekolah dan pelaksanaan sesi pembelajaran bersemuka secara berperingkat bermula hari ini.

Bagi mereka, pihak kementerian wajar mengambil kira kes semasa COVID-19 yang masih lagi tinggi dan menganggap sesi persekolahan secara bersemuka amat tidak sesuai diadakan buat masa sekarang.

Ada juga yang mengeluh kerana telah mengeluarkan belanja yang agak banyak untuk membeli peranti sama ada komputer riba, tablet mahupun telefor pintar untuk keperluan anak mereka mengikuti pelajaran dari rumah dan kini perlu pula membeli baju sekolah anak.

Akan tetapi, adakah ‘suara’ ini mewakili seluruh masyarakat mahupun meliputi pelbagai lapisan sosial ekonomi?

Walhal, mungkin ada yang tidak menyedari bahawa pengumuman pembukaan sekolah ini, sebenarnya merupakan satu ‘rahmat’ amat berharga bagi golongan B40 mahupun luar bandar serta kawasan pedalaman yang diketahui sememangnya begitu terkesan sepanjang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Amirah Haikal, 15, pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah sekitar Lembah Klang dan rakannya teruja dengan keputusan yang diumumkan kerajaan itu, bahkan menganggap ‘derita mereka’ sudah berakhir.

Keluarga pelajar ini tergolong dalam kalangan berpendapatan rendah, begitu juga rakannya.

Guru Makan Gaji Buta? Tolong Hentikan Sendiran – NUTP

SANGAT BERMAKNA

Bermula Isnin, 1 Mac 2021, KPM menetapkan pembukaan sekolah untuk murid sekolah rendah iaitu prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah di seluruh negara, manakala murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam pula bermula pada 8 Mac.

Bagi pelajar sekolah menengah, mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala pelajar sekolah menengah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 5 April.

“Saya dan kawan (golongan B40) rasa sangat lega bila dapat tahu sekolah dibuka berbanding rakan yang ada peralatan untuk belajar secara maya. Saya akui, rasa derita sangat kerana langsung tak dapat sertai kelas PdPR sejak PKP pertama lagi sehinggalah hari ini.

“Emak hanya jual kuih dan pendapatan harian pun kurang RM60 sehari sejak wabak COVID-19 dan ayah pula sakit, tidak bekerja. Kami memang tidak mampu beli komputer. Yang ada, hanyalah telefon pintar jenis lama dan agak susah sikit sebab ia bermasalah apabila guna dalam masa lama.

“Emak hanya mampu beli pelan data internet yang berharga RM20 dan perlu dikongsi bersama tiga beradik lain. Memang tidak cukup data untuk kelas dalam talian. Yang saya mampu hanyalah muat turun kuiz dan kerja sekolah selain belajar di rumah rakan atau hubungi cikgu. Memang rasa banyak ketinggalan,” katanya.

Hakikatnya, polemik keciciran pelajar dalam kalangan golongan B40, luar bandar dan kawasan pedalaman untuk mendapat akses pendidikan sewajarnya sepanjang pandemik COVID-19 bukanlah hanya dialami Amirah mahupun sekelompok dalam kalangan rakan-rakannya sahaja.

[VIDEO] “Siapa Benar2 Perlu, Boleh Hubungi..Semoga Jadi Asbab Kebaikan”-Ebit Lew Hadiahkan 100 Biji Tab Untuk Pelajar Memerlukan

Jumlah pelajar yang terkesan mungkin juga tinggi dan sudah tentunya agak membimbangkan. Ini mungkin juga antara faktor pertimbangan mengapa KPM akhirnya mengambil keputusan membuka kembali sekolah secara berperingkat bagi memastikan jurang pencapaian pendidikan antara pelajar miskin serta yang berada, pelajar di bandar dan pedalaman tidak terus melebar.

Menurut Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian yang dilaksanakan KPM antara 28 Mac hingga 2 April 2020, sebanyak 36.9 peratus murid tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Kajian itu membabitkan 670,118 responden terdiri daripada ibu bapa kepada 893,331 murid, yang mana enam peratus murid mempunyai komputer peribadi, 9.3 peratus (komputer riba), 5.8 peratus (tablet) dan 46.5 peratus (telefon pintar).

Manakala, isu jurang digital dalam satu laporan media adalah lebih parah di Sabah dan Sarawak apabila lebih 50 peratus pelajarnya tiada akses internet dan tiada peranti yang diperlukan bagi pembelajaran dalam talian.

TIDAK WAJAR DIPOLITIKKAN

Ekoran daripada polemik ini, tidak menghairankanlah apabila Presiden Persatuan Sains, Teknologi, dan Inovasi, Mohamed Yunus Mohamed Yasin yang dipetik dalam satu laporan media, mengklasifikasikan tahun 2020 sebagai ‘a lost year for many B40 students’.

Umum mengetahui, pelaksanaan serta keberkesanan PdPR sangat berkait dengan capaian internet dan peranti, sekali gus menjurus kepada persoalan kemampuan serta pendapatan keluarga. Difahamkan, majoriti B40 merupakan antara golongan yang begitu terkesan dengan pandemik COVID-19 memandangkan tidak memiliki sumber pendapatan tetap.

Perihal ini turut diakui sendiri Amirah yang menyatakan ibunya tidak mampu untuk membeli kuota internet melebihi RM20 sebulan kerana akan menjejaskan wang belanja untuk menyediakan makanan buat keluarga.

“Kesusahan ini membuatkan saya begitu teruja ke sekolah sehinggakan baju, tudung sudah siap diseterika pada hari diumumkan sekolah akan dibuka. Saya nak kejar balik apa yang tertinggal sebelum ini kerana tahun ini saya PT3.

“Pematuhan SOP (prosedur operasi standard) tidak ada masalah buat saya kerana sudah biasa berdasarkan pengalaman sebelum ini. Yang penting, saya dapat kembali ke sekolah,” katanya.

Pdpr: Cabaran guru, pelajar dan ibu bapa

Kerajaan melakukan pelbagai cara untuk membantu golongan ini supaya tidak tercicir dalam PdPR seperti pemberian data 1 gigabit secara percuma kepada orang ramai melayari laman web, termasuklah untuk tujuan pendidikan sehingga hujung April 2021, pakej langganan khas pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pelajar institusi pengajian tinggi sehingga hujung April 2021.

Namun hakikatnya, bantuan itu hanya dapat menampung sebahagiannya dan mereka masih lagi memerlukan pembelajaran bersemuka di sekolah.

Pastinya, keputusan KPM untuk membuka sekolah adalah bukan keputusan semberono tetapi telah melalui pelbagai peringkat serta melibatkan pihak berkepentingan, justeru ia sewajarnya tidak dipolitikkan.

Malah, penyediaan itu termasuklah seramai 55,539 guru yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi akan diusahakan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Mengulas mengenainya, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berkata keputusan pembukaan sekolah ini adalah sangat relevan malah pada hemat beliau ia sebenarnya agak terlewat.

BELUM BERSEDIA

“Sebenarnya, rata-rata ibu bapa mohon sekolah segera dibuka. Malah, ramai guru juga mahu sekolah dibuka kembali. Pada saya, keputusan buka sekolah ini sebenarnya agak terlewat kerana anak kita sudah hampir satu tahun tidak bersekolah dan tidak mendapat pendidikan secara baik.

“Ramai yang ketinggalan dan ada yang telah hilang tumpuan serta motivasi meneruskan pembelajaran. Jadi buka sekolah adalah keputsan terbaik dan sesuai. Tambahan pula, kanak-kanak adalah kumpulan paling rendah berisiko dalam pandemik COVID-19.

“Malah, beberapa negara maju yang masih dibelenggu dengan kes COVID-19 yang tinggi pun telah memulakan sesi persekolahan dengan SOP yang ketat seperti Perancis, Jerman dan Sepanyol. Oleh itu, KPM sepatunya membuka sekolah dengan memastikan pematuhan ketat SOP,” katanya.

Selain polemik pencapaian internet dan pemilikan peranti, Anuar turut berpandangan banyak pihak belum bersedia dengan ekosistem pendidikan PdPR itu sendiri, dari sudut aspek kemahiran mahupun persediaan guru ataupun pengajar dalam menyediakan bahan pembelajaran dan pengajaran bersesuaian.

Berdasarkan kajian Fakulti Pendidikan, UKM berkaitan kesediaan guru dalam melaksanakan PdPR yang diketuai Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor, beliau dipetik sebagai berkata, kajian menunjukkan kaedah pengajaran guru kurang berkesan kerana kurang selari dengan tahap kebolehan dan pembelajaran murid.

Selain 70 hingga 80 peratus guru melaporkan cabaran utama melaksanakan PdPR adalah kesukaran mendapatkan perhatian pelajar selain masalah kekurangan peralatan, kelemahan infrastruktur dan capaian internet turut menjadi masalah utama.

“PdPR 1.0 nyata gagal selepas hampir 10 bulan dilaksanakan. Banyak isu pembelajaran PdPR dan ini termasuklah para guru kita tiada kemahiran dalam pedagogi dalam talian. Mereka tidak dilatih untuk mengajar dalam talian.

“Latihan perguruan hanyalah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka. Selain kebanyakan ibu bapa juga belum bersedia dan tiada pengetahuan membantu anak mereka belajar secara PdPR,” kata Anuar.

PIBGN: Guru harus diberi peluang sesuaikan diri dengan PdPR

HIBRID/PENGGILIRAN

Biarpun yakin dengan perancangan dan langkah KPM dalam memastikan keberkesanan pematuhan SOP di sekolah, Anuar berkata KPM sewajarnya melaksanakan pembukaan sesi sekolah secara penggiliran ataupun dikenali sebagai hibrid.

Pembelajaran secara hibrid iaitu gabungan antara pembelajaran secara dalam talian dan bersemuka dilihat adalah yang terbaik dan bersesuaian dengan situasi semasa yang masih dilanda COVID-19.

“Penggiliran sesi sekolah bukan perkara baru. Malah, KPM sudah ada pengalaman amalkan sistem ini pada bulan Julai 2020. Sistem penggiliran adalah terbaik kerana bilangan pelajar dapat dikurangkan setiap hari.

“Ini bagi meningkatkan keberkesanan pematuhan SOP khususnya berkaitan penjarakan fizikal. Kanak-kanak yang sihat adalah kumpulan berisiko rendah jangkitan COVID-19. Tetapi, kita bimbang penularan dibawa mereka ke rumah di mana ibu bapa, datuk, nenek merupakan golongan berisiko tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berpandangan, tidak timbul isu pembaziran pembelian peranti berikutan pembukaan sekolah kerana ia boleh dimanfaatkan pada sesi persekolahan bersemuka.

Misalnya, beliau mencadangkan pihak sekolah dengan kerjasama PIBG dan alumni mengaturkan kelas tuisyen hujung minggu atau masa cuti sekolah untuk pelajar mengulangkaji atau mengejar mana-mana pelajaran yang tercicir sebelum ini dengan menggunakan peranti tersebut.

Sementara itu, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, KPM Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dipetik sebagai berkata, hakikatnya, pembukaan sekolah tidaklah bermakna kaedah PdPR perlu dilupakan kerana gabungan keduanya akan memberi kelebihan kepada pelajar untuk mendapat kaedah pembelajaran lebih baik.

“Dalam situasi sekarang, semua pihak perlu memainkan peranan dan tidak hanya memberikan tanggungjawab kepada KPM sahaja menyelesaikannya,” katanya.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

– Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker