Keluhan daripada pemandu e-hailing – Ahmad Zahid Hamidi
Masihkah saudara saudari ingat kerajaan pada bulan lalu mengumumkan bantuan RM500 secara one-off kepada 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan pemandu e-hailing?
Alhamdulillah, proses bayaran sudahpun bermula pada 22 Februari lalu sehingga 26 Februari 2021. Bantuan menerusi Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) diharapkan membantu pemandu yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun saya menerima keluhan daripada wakil pemandu e-hailing semalam yang mendakwa kira-kira 45,000 pemandu tidak menerima bantuan itu termasuk mereka yang menetap di luar Lembah Klang.
Antara punca dihadapi adalah syarikat e-hailing gagal mengenalpasti rekod dan data pemandu biarpun mereka berkelayakan. Mereka maklumkan pada saya syarikat tidak mengemaskini sistem menyebabkan nama mereka tercicir.
Dalam keadaan ini, saya menyeru Kementerian Pengangkutan, APAD dan pihak berkaitan agar mengkaji semula masalah ini. Dalam situasi sekarang, RM500 begitu besar buat mereka yang memerlukan.
Antara alasan lain adalah pemandu tidak memenuhi syarat pendapatan sekurang-kurangnya memperoleh RM700 bagi Oktober, November atau Disember 2021.
Pemandu beritahu mereka gagal meraih pendapatan minimum itu disebabkan terpaksa duduk di rumah kerana tidak mahu berdepan risiko dijangkiti Covid.
Saya berharap baki 45, 000 pemandu ini dapat dibantu termasuk pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran dan kereta sewa yang tercicir.