Dua beradik antara tiga maut kemalangan

Dua beradik antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuching di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa yang maut adalah seorang wanita, Lee Pan Nee, 45, dan adik lelakinya, Lee Veeran, 35, serta Muhammad Hafiz MD Isa, 21.

“Kita terima maklumat berlaku satu kemalangan maut di Jalan Kuching pada jam 12.30 tengah malam melibatkan sebuah kereta Proton Satria Neo yang dipandu Muhammad Hafiz dan kenderaan pacuan empat roda Mazda BT 50 yang dinaiki oleh Pan Nee dan Veeran,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Zulkefly berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Satria Neo dari arah Kepong menghala ke Bulatan Segambut hilang kawalan lalu melanggar batu penghadang di tengah jalan.

“Kereta itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Mazda BT 50 yang sedang bergerak di lorong paling kanan,” katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, kesemua individu tersebut mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat dibawa ke Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dah bedah siasat akan dibuat setelah keputusan ujian Covid-19 diperolehi,” katanya.

Zulkefly memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker