i-Lestari: RM18.1 billion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli KWSP — MYKMU.NET

i-Lestari: RM18.1 billion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli KWSP



Sebaran :

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan sebanyak RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahlinya menerusi kemudahan Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari.

Menurut Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, kemudahan itu dijangka memberi bantuan kewangan kepada ahli yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“KWSP merupakan salah satu dana persaraan terawal di dunia yang memberikan bantuan kepada ahlinya ketika pandemik COVID-19 merebak dengan melancarkan Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari untuk memberi bantuan kewangan kepada ahli.



“Sehingga kini, sejumlah RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari. Langkah-langkah lain termasuk membenarkan ahli mengurangkan caruman wajib mereka daripada 11% kepada 7% berkuatkuasa April 2020 hingga Disember 2020,” katanya dalam kenyataan media Laporan Kewangan KWSP bagi tahun 2020 pada Sabtu.

Dalam pada itu jelasnya lagi, bagi memastikan majikan dapat menampung kos dan terus mengekalkan pekerja mereka, KWSP turut menawarkan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP).

“KWSP telah menawarkan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP), yang ditujukan khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“e-CAP memberi fleksibiliti kepada PKS yang layak untuk memohon penangguhan dan penstrukturan semula caruman majikan dan sebanyak 13,090 majikan telah memanfaatkan kemudahan ini dengan jumlah kumulatif RM84.95 juta,” jelasnya lagi.



Mengulas lanjut, Ahmad Badri turut memaklumkan aset pelaburan KWSP telah meningkat kepada RM998 bilion dengan nilai pasaran mencecah RM1.02 trillion pada Disember tahun lalu.

“Aset pelaburan keseluruhan KWSP meningkat 7.9 peratus kepada RM998 bilion, dengan nilai pasaran mencecah RM1.02 trilion pada hujung tahun lalu. Jumlah ahli KWSP turut meningkat sebanyak 2 peratus kepada 14.89 juta, sementara majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah sebanyak 534,398.

“KWSP kini, memerlukan RM8.25 bilion untuk membayar setiap 1 peratus dividen untuk Simpanan Konvensional dan RM972 juta untuk membayar setiap 1 peratus dividen untuk Simpanan Shariah bagi tahun 2020.



“Hampir separuh daripada keseluruhan peruntukan aset KWSP dalam instrumen Pendapatan Tetap, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia & Bon Sama Taraf serta Bon & Pinjaman,” ujarnya lagi.

Tambahnya, KWSP dapat mengekalkan pulangan yang stabil dan mengambil peluang untuk meraih keuntungan apabila kadar faedah mengalami penurunan dengan pendapatan RM2.42 bilion atau 42 peratus daripada jumlah pendapatan kasar KWSP.


Sebaran :


Leave a Reply