Selepas keputusan Mahkamah Persekutuan, PAS seru kembalikan ‘Maruah’ Mahkamah Syariah

 

PETALING JAYA: PAS Selangor mendesak supaya martabat mahkamah syariah dikembalikan, susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan badan perundangan negeri itu tidak mempunyai kuasa meluluskan undang-undang syariah, yang menjadikan seks luar tabii sebagai satu kesalahan.

Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi berkata, pertemuan dua hala antara petugas kehakiman di peringkat mahkamah syariah dan sivil perlu segera dilakukan dalam usaha mencari jalan penyelesaian dalam isu itu, memandangkan undang-undang tubuh negeri Selangor juga sudah diberikan pengiktirafan.



“Ia supaya akhirnya mahkamah syariah ada kuasa menjaga kemaslahatan umat. Enakmen Jenayah Syariah Selangor juga adalah sebahagian dari undang-undang tubuh negeri. Ini adalah langkah pertama, sekali gus akan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam isu ini terutama orang Islam.

“Perlu ada perbincangan antara pihak kehakiman mahkamah syariah dan sivil. Tidak dinafikan mahkamah sivil mengatasi mahkamah syariah tetapi kuasa negeri tetap ada. Perlembagaan Persekutuan juga mengangkat agama Islam sebagai agama rasmi dan disebabkan itu perlu ada perbincangan mendalam,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa meluluskan undang-undang syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.



Tengku Maimun berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 adalah tidak konsisten dan tidak sah.

Ahmad Yunus berkata, malah menjadi cita-cita PAS menerusi Mursyidul Am Hashim Jasin untuk parti itu bersama PPBM dan Umno mencari kemenenagan majoriti dalam pilihan raya umum ke-15 supaya dapat mengubah perlembagaan ke arah memperkasa perundangan Islam.

Keputusan Seks Luar Tabii: Mahkamah Persekutuan buka ruang pihak lain cabar undang-undang syariah



Beliau berkata, di peringkat persekutuan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai PAS tidak seharusnya melihat isu yang berlaku di Selangor sebagai suatu isu remeh, memandangkan dibimbangi akan beri kesan buruk di masa hadapan, khususnya apabila PAS berhasrat meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“Saya amat harapkan, kerajaan hari ini yang PAS juga bersamanya tetap memartabatkan undang-undang syariah. Saya percaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan akan melihat sejauh mana perkara ini perlu dibincangkan demi kesejahteraan negara. Kita sebahagian dari kerajaan, harus selesaikan dengan cara terbaik.

“Tidak dinafikan, keputusan hari ini juga dilihat sebagai suatu kesedaran kepada golongan profesional undang-undang untuk melihat dan menjadikan kes yang berlaku di Selangor ini sebagai contoh, supaya ia dapat dibincangkan lebih baik dan akhirnya menjadi undang-undang yang boleh dipakai dan kuasanya juga ada,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan akan memberi implikasi besar kepada perundangan syariah di negara ini, sekaligus akan membuka ruang kepada pihak lain untuk mencabar mana-mana peruntukan lain dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri.



 

Undang-undang Selangor benarkan hukuman seks luar tabii, tidak berperlembagaan – Hakim



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker