Jika sudah ada dalam Senarai Persekutuan, negeri tak boleh gubal, kata mahkamah



Sebaran :

Gambar Hiasan***

PUTRAJAYA: Negeri boleh menggubal undang-undang berkenaan kesalahan yang menyalahi ajaran Islam, tetapi tidak boleh sekiranya ia sudah berada dalam Senarai Persekutuan, kata mahkamah.

Mahkamah Persekutuan berkata sekiranya kesalahan itu termasuk bawah apa jua perkara dalam senarai itu, maka negeri tidak boleh menggubal enakmen berkenaannya.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menjelaskan perkara itu selepas membenarkan permohonan seorang lelaki, yang memohon supaya diisytiharkan badan perundangan Selangor tidak kompeten untuk menggubal suatu undang-undang syariah yang menjadikan penglibatan dalam seks luar tabii suatu kesalahan.



Lelaki itu, yang identiti dirahsiakan atas permintaan peguam, mencabar kompetensi badan perundangan Selangor untuk menggubal Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor).

Pemohon itu memohon mahkamah mengisytiharkan Seksyen 28 tidak mengikut perlembagaan.

Tengku Maimun menekankan bahawa kes ini tidak mempertikaikan liwat, salah satu perkara yang menjadi perhatian dalam Seksyen 28, yang dikenakan dalam tuduhan terhadap pemohon, menyalahi ajaran Islam.



Namun, kesalahan itu sudah ada bawah Kanun Keseksaan yang digubal oleh Parlimen, yang kompeten, mengikut maksud perkara 3 dan 4 Senarai Persekutuan.

Liwat merupakan suatu kesalahan bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaaan.

Tengku Maimun seterusnya berkata walaupun orang Islam tertakluk kepada undang-undang sivil dan syariah, setakat mana undang-undang syariah boleh diguna pakai ke atas orang Islam dibatasi oleh perkara 1 Senarai Negeri.



“Klausa ‘preclusion’ dalam perkara 1 seterusnya mengehadkan kuasa badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang seperti itu, dengan menjadikan ia tertakluk kepada Senarai Persekutuan,” katanya.

Tengku Maimun berkata di AS, kuasa perundangan utama pada negeri manakala selebihnya pada persekutuan.

Bagaimanapun, istilah dalam Perlembagaan Persekutuan dan sejarahnya jelas menyatakan kuasa perundangan utama bagi persekutuan pada Parlimen, kecuali bagi perkara khusus yang mana negeri mempunyai kuasa perundangan.



“Oleh itu, kami berpandangan bahawa penggubalan Seksyen 28 tersebut bertentangan dengan perkara 1 Senarai Negeri, yang menyatakan badan perundangan negeri tiada kuasa untuk membuat undang-undang berkenaan perkara yang sudah termasuk dalam Senarai Persekutuan,” katanya.

Dalam prosiding maya hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 28 tidak konsisten dan terbatal memandangkan ia bertentangan dengan Senarai Negeri.

Tengku Maimun mempengerusikan barisan sembilan hakim, yang antaranya Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed; dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim.



Mereka disertai Hakim Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat, Zabariah Mohd Yusof, dan Hasnah Mohammed Hashim.

Pada 21 Ogos 2019, ketua pendakwa syarie memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan terhadap pemohon di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mengikut Seksyen 28.

Dia dikatakan telah melakukan hubungan seks luar tabii dengan seorang lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 Nov 2018.

Lelaki itu minta dibicarakan tetapi prosiding ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonannya di Mahkamah Persekutuan.


Sebaran :


Leave a Reply