Undang-undang Selangor benarkan hukuman seks luar tabii, tidak berperlembagaan – Hakim



Sebaran :

Gambar Hiasan***

 

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini, memutuskan bahawa badan perundangan Selangor tiada kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim, dalam penghakimannya berkata hanya Parlimen ada bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii, adalah tidak berperlembagaan.



“Oleh itu, Seksyen 28 adalah tidak konsisten dan terbatal,” katanya pada persidangan video menggunakan aplikasi Zoom.

Yang turut bersidang, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof serta Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Pada 14 Disember lalu, panel diketuai Tengku Maimun menangguhkan keputusan mahkamah terhadap usul dibawa seorang lelaki bagi mencabar Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yakni peruntukan digunakan bagi mendakwanya atas pertuduhan cubaan melakukan seks luar tabii.



Pada 21 Ogos 2019, ketua pendakwa syarie menerusi pendakwa syariah memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 28 enakmen berkenaan terhadap lelaki itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Lelaki itu didakwa atas pertuduhan cuba melakukan seks luar tabii dengan seorang lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018.

Bagaimanapun, lelaki itu mengaku tidak bersalah dan perbicaraan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menanti keputusan hasil usulnya.



Pada 14 Disember lalu, mahkamah mendengar hujah daripada peguam lelaki itu, Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang berhujah bahawa badan perundangan Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan terbabit kerana perkara dalam peruntukan berkenaan, yakni seks luar tabii, terletak dalam Senarai Persekutuan, dalam Perlembagaan Persekutuan.

 


Sebaran :


Leave a Reply