‘PN dibina atas pengkhianatan akan runtuh melalui pengkhianatan’

 

Selepas setahun pembentukan kerajaan PN melalui Langkah Sheraton menumbangkan pentadbiran Pakatan Harapan, ekonomi masih tidak pulih, kata dua pemimpin pembangkang.

Presiden Warisan Shafie Apdal dan pengerusi penaja parti Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman dalam kenyataan bersama berkata kerjasama Bersatu, Umno dan PAS dalam kerajaan PN tidak lebih dari sekadar kosmetik.

Jelas mereka, jenama ‘kerajaan Melayu-Islam’ sahaja akhirnya tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat.

Pemerintahan PN, kata Shafie dan Syed Saddiq menyaksikan jumlah pengangguran rakyat terus meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember 2020 dan tidak ada rancangan pemulihan ekonomi yang berjaya dibuat sehingga hari ini

“Apa pula jawapan kerajaan ‘Melayu-Islam’ apabila lebih 30,000 syarikat di negara ini telah menutup operasi mereka sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac tahun lalu?

“Malah lebih 9,000 daripada jumlah tersebut merupakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata mereka.

Shafie dan Syed Saddiq juga berkata kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini terlalu sibuk menyoal kesetiaan yang diikrarkan dan “tidak lagi mempercayai antara satu sama lain.”

Komplot jatuhkan Najib pengkhianatan terlampau

“Selepas beberapa siri pertukaran kepimpinan kerajaan negeri melalui undi di dalam Dewan Negeri, lompat parti dan pilihanraya negeri dalam tempoh PKP, ikatan ketiga-tiga parti tersebut hanya menunggu masa sahaja untuk terlerai.

“Kerajaan yang dibina atas nama pengkhianatan akan runtuh melalui pengkhianatan juga,” kata mereka lagi.

Untuk rekod, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui Langkah Sheraton, Bersatu membentuk kerajaan baru melalui kerjasama longgar dengan beberapa parti lain termasuk Umno dan BN.

Ia kemudian menyaksikan munculnya PN yang disertai PAS sebagai salah satu parti komponen manakala Umno dan BN kekal berada di luar gabungan tersebut.

Hubungan Umno dan Bersatu dikatakan bermasalah dan umpama retak menanti belah.

Ia selepas mesyuarat MT Umno pada Jan lalu membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun Umno masih gagal mengabsahkan keputusan berkenaan selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadualkan hujung bulan lalu dibatalkan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Umno juga sebelum ini turut dikaitkan dengan spekulasi yang parti itu menjalinkan kerjasama dengan PKR bagi menjatuhkan kerajaan PN.

Dalam pada itu, Shafie dan Syed Saddiq dalam kenyataan berkenaan menegaskan bahawa kuasa dan pangkat yang dikejar bukan kunci kepada kejayaan sebuah negara.

“Sempena mengingati tragedi Langkah Sheraton yang kini genap setahun, ahli politik harus ingat bahawa kuasa dan pangkat yang dikejar bukan kunci kepada kejayaan sebuah negara.

“Lebih penting dan utama adalah iltizam politik dan kesungguhan menjaga rakyat. Sebuah kerajaan yang telus, bersih dan adil adalah kerajaan yang mengunakan ruang dan peluang yang ada untuk mentadbir dengan baik untuk rakyat.

“Yang utama bukan jenama agama dan bangsa tetapi komitmen melindungi negara,” katanya lagi.

SPRM panggil Syed Saddiq

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker