Ibu rayu orang ramai derma darah bantu anak Talasemia

Pemindahan darah untuk Neowell Van Houttan yang semakin lemah ditangguhkan bulan ini kerana sukar mendapat bekalan darah sepadan.

 

KOTA KINABALU: Seorang ibu merayu orang ramai menderma darah untuk membantu anaknya yang menghidap Talasemia.

Selly Onong berkata, kesukaran mendapatkan bekalan darah jenis “O positif R1R1 JKA” menyebabkan proses pemindahan darah Neowell Van Houttan, 20, terpaksa ditangguhkan bulan ini.

“Pandemik Covid-19 turut menyebabkan proses pemindahan darah anak saya terjejas sehingga mengakibatkan dia bertambah lemah.



“Memandangkan dia adalah orang kelainan upaya ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’ (ADHD), saya agak risau sekiranya proses pemindahan darahnya lambat dilakukan setiap bulan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kali terakhir anaknya menjalani pemindahan darah pada 19 Jan lalu dan Neowell sepatutnya berbuat demikian 5 Feb lalu.

Selly berkata, anaknya dikesan menghidap “Talasemia major” ketika berusia empat tahun dan sejak itu, beliau perlu menjalani pemindahan darah setiap bulan.

Katanya, ada kalanya Neowell terpaksa menunggu bekalan darah dari Pusat Darah Negara di Kuala Lumpur disebabkan kesukaran mendapatkan darah sepadan.



“Jika darah yang diterima tidak sesuai dengan Neowell, badannya akan mula beruam dan bengkak. Atas sebab itu, dia betul-betul perlukan darah yang sama, iaitu ‘O positif R1R1 JKA’.

“Saya tidak mahu hanya terus menunggu bekalan darah dari hospital, saya perlu berusaha merayu penderma darah untuk tampil agar proses pemindahan darah anak saya dapat dilakukan secepatnya.

“Rayuan saya ini bukan hanya untuk anak saya saja, tetapi juga anak-anak lain yang turut menghidap Talasemia dan perlu melakukan pemindahan darah setiap bulan.”

Beliau berkata, sebelum ini ada penderma darah tetap, namun ada kalanya jenis darah yang diterima tidak sepadan.



Mereka yang mempunyai darah sepadan dan ingin menderma kepada Neowell ke Hospital Queen Elizabeth 1 atau hubungi Selly di talian 014-7357915.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker