Tetap bersemangat menduduki SPM

Kota Bharu: “Walaupun terpaksa menduduki peperiksaan dalam norma baharu, namun ia tidak sedikit pun mengganggu emosi dan persediaan saya untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, Nik Nur Ain Nik Mohd Arif, 18.

Nik Nur Ain berkata, meskipun berhadapan dengan pandemik Covid-19, namun persiapan dan usaha yang dijalankan oleh guru selain sokongan daripada ibu dan ayah menjadikannya lebih bersedia untuk menduduki SPM yang bermula hari ini.

“Peperiksaan kali ini amat jauh berbeza kerana saya dan rakan-rakan yang lain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu melakukan saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan peperiksaan.

“Bagaimanapun, saya tetap bersemangat dan akan buat yang terbaik untuk kesemua mata pelajaran yang diambil,” katanya ketika ditemui di perkarangan SMK Ismail Petra, di sini, hari ini

Sementara, Nur Afiqah Azman, 18, berkata, penundaan tarikh SPM 2020 yang sepatutnya diadakan pada Oktober tahun lalu memberi kelebihan kepadanya untuk mengulang kaji pelajaran dan membuat persediaan rapi walaupun terpaksa menduduki peperiksaan itu dalam suasana yang berbeza.

“Disebabkan penularan pandemik Covid-19, sesi persekolahan banyak yang tertangguh dan untuk memanfaatkan masa yang ada saya mengulang kaji pelajaran sendiri selain mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), pada masa sama tetap berkomunikasi dengan guru bagi bertanyakan tajuk yang kurang difahami.

“Insya Allah dengan persiapan yang dilakukan ini menjadikan saya lebih bersedia untuk menduduki peperiksaan dan berharap tidak akan hilang fokus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Harun Yusof berkata, seramai 27,719 calon yang menduduki peperiksaan SPM di seluruh negeri yang bermula hari ini.

Beliau berkata, jumlah berkenaan membabitkan calon daripada 243 sekolah di seluruh negeri dengan 285 pusat peperiksaan.

“Kami berpuas hati dengan persiapan yang dilaksanakan oleh pihak sekolah dengan mematuhi SOP yang sudah ditetapkan selain dewan dan bilik peperiksaan juga disanitasi.

“Kita berharap kesemua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM kekal berdisiplin serta patuh dengan SOP dalam keadaan suasana norma baharu dengan amalkan penjarakan fizikal, sentiasa mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup muka,” katanya.-HM

IPT, sekolah tidak dibenar kenakan syarat ujian swab

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker