PAS mungkin tidak berganjak soal pengagihan kerusi

Hubungan erat antara PAS dan PPBM mungkin menyebabkan parti Islam itu semakin tegas dengan Umno mengenai pengagihan kerusi, menurut seorang penganalisis politik.

Ini susulan komen pengarah pilihan raya Umno Tajuddin Abdul Rahman bahawa perbincangan antara Umno dan PAS di Terengganu mungkin sudah menemui jalan buntu setelah PAS menolak cadangan Umno mengenai pengagihan kerusi.

Kata Tajuddin kepada FMT, beliau bertemu dengan beberapa pemimpin Umno negeri kira-kira dua bulan lalu dan pemimpin Umno Terengganu bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS, tetapi dengan syarat.

“Mereka mahukan 16 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen,” kata beliau, sambil menambah, terdapat lapan kerusi Parlimen di Terengganu.

Itu syarat yang ditetapkan oleh Umno negeri untuk bekerjasama dengan PAS.

“Pemahaman saya adalah bahawa syarat itu mungkin tidak dilayan oleh PAS,” tambah beliau.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said dipetik minggu ini sebagai berkata, parti itu akan bertanding di semua kerusi, baik DUN mahupun Parlimen, dan buat masa sekarang, tiada kerjasama dengan bahagian PAS.

Tajuddin berkata, PAS tidak seharusnya memiliki “mentaliti sapu bersih” di kubu kuatnya di Kelantan.

“Mereka harus bersikap budiman untuk menjadi rakan kongsi (dengan Umno) dan memberikan bahagian kerusi yang adil,” kata beliau.

Kata beliau, Umno Johor pada awalnya bersedia memberi peluang kepada presiden PPBM Muhyiddin Yassin untuk bertanding di kerusi Parlimen Pagoh yangg diwakilinya, sebagai anak tempatan yang berjaya.

Namun, ketua-ketua bahagian tidak mahu menyerahkan kerusi Pagoh kepada PPBM.

Di Perak, Selangor dan Kedah, Tajuddin berkata tidak ada masalah antara Umno dan PAS kerana kedua-dua parti mencari pendirian yang sama di semua negeri.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional tetapi di negeri tertentu, mereka mungkin mempunyai alasan tersendiri untuk tidak bekerjasama,” tambah beliau.

Bagaimanapun, penganalisis politik Azmi Hassan berkata, hubungan erat antara PAS dan PPBM mempengaruhi hubungannya dengan Umno.

“Kita mungkin melihat parti itu semakin bersikap tegas dengan Umno dalam hal pengagihan kerusi,” kata Azmi.

Kerjasama antara Umno dan PAS mungkin menjadi lemah sekiranya PAS bersedia bekerjasama di satu negeri, tetapi menolaknya di negeri-negeri lain.

Azmi percaya Umno dan PAS mungkin masih berusaha memperbaiki hubungan, tetapi ia bergantung kepada parti mana yang sanggup lebih berkorban dalam Muafakat Nasional, sebuah gabungan yang dirasmikan pada Sept 2019 untuk menentang gabungan Pakatan Harapan yang memerintah ketika itu.-FMT

Leave a Reply