Pas dan Umno mampu rampas 21 kerusi dari PH

UMNO dan Pas sedang giat melakukan perbincangan mengenai pengagihan kerusi dan dua parti itu mampu menawan 21 kerusi Parlimen yang kalah sebelum ini sekiranya rundingan dua parti itu berjaya.

21 kerusi itu termasuk empat kerusi yang dipegang oleh wakil rakyat yang telah menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional. Empat kerusi ini adalah Tambun, Titiwangsa, Kuala Pilah dan Indera Mahkota.

Untuk baki 17 kerusi pula, undi yang diperoleh secara bersama Pas dan UMNO di Kuala Selangor pada pilihan raya umum lalu hanyalah 37 undi lebih banyak berbanding calon Pakatan Harapan (PH).

Selain Kuala Selangor, 16 kerusi lain menyaksikan undi yang digabungkan daripada UMNO dan Pas pada pilihan raya umum adalah antara 1,000 hingga 13,000 lebih banyak berbanding parti lawan.

China Press melaporkan, 16 kerusi itu yang berpeluang ditawan semula melalui gabungan tenaga UMNO dan Pas adalah Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Kangar, Parit Buntar, Temerloh, Lumut, Sungai Besar, Kuala Langat, Tampin, Sri Gading dan Tangga Batu.

Sementara itu, sumber UMNO berpendapat penangguhan pembentangan Bajet 2021 daripada 2 Oktober kepada 6 November dan penangguhan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 kepada tahun depan bermaksud pilihan raya berpotensi diadakan dalam tempoh Oktober 2020 hingga Mac 2021.

UMNO menjangkakan perbincangan dalaman akan selesai pada September sebelum berunding dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan parti seangkatan yang lain termasuk Pas dan Bersatu.

Rundingan akan memfokus kepada usaha mengelakkan pertindihan iaitu mewujudkan keadaan satu lawan satu dengan parti lawan.

Walau bagaimanapun, UMNO dan Bersatu dijangka akan berdepan masalah dalam rundingan kerana banyak kerusi mereka adalah bertindih dalam pilihan raya lalu.

“Memandangkan Pas akan memberi perhatian kepada kerusi di Pantai Timur Semenanjung, maka pengagihan kerusi antara UMNO dan Pas tidak mempunyai masalah terlalu besar,” kata sumber. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker