Premis judi dalam talian diserbu selepas seminggu beroperasi

Sebaran :

ACP Razali Abu Samah

20/02/2021 12:48 AM
KUALA LUMPUR, 19 Feb – Kegiatan judi dalam talian di sebuah premis di Bandar Puchong Jaya di sini, yang baru beroperasi seminggu, terbongkar selepas diserbu polis hari ini.

Premis yang beroperasi di sebuah lot kedai itu diserbu sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang kira-kira 6.50 petang.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata dua lelaki, masing-masing warga Indonesia dan Myanmar dipercayai penjaga premis dengan tawaran gaji RM1,000 sebulan, ditahan.

Beliau berkata turut ditahan sembilan lelaki termasuk dua warga Bangladesh yang merupakan pelanggan di premis itu dan polis merampas 18 komputer riba serta wang tunai RM465.

“Siasatan mendapati premis yang beroperasi dari 10 pagi hingga 8 malam itu menerima keuntungan harian kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 sehari. Premis ini juga telah dikenakan waran geledah oleh polis pada akhir tahun 2019,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Razali berkata Majlis Bandaraya Subang Jaya telah bertindak menutup dan menyita barangan di dalam premis itu dan kesemua individu ditahan yang berusia lingkungan 26 hingga 71 tahun dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat).

— BERNAMA


Sebaran :

Leave a Reply